My Add

Sunday 8 July 2012

Idea Kampung Baru kedua tidak relevan: Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR, AHAD, 08 Julai, 2012: Idea pembangkang untuk mewujudkan Kampung Baru kedua di kawasan luar Kuala Lumpur adalah satu tindakan yang kurang bijak dan tidak relevan sama sekali. 

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata cadangan itu menunjukkan sikap pembangkang yang hanya pandai bercakap tidak tidak memikirkan cara untuk merealisasikannya. 

"Lokasi mana nak bina Kampung Baru kedua... Mungkin di Selangor. Mereka tidak fikir kesan tindakan itu yang mana ia sudah pasti menyusahkan penduduk Kampung Baru sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa kali ke-27 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini. 

Beliau juga berkata, senarai anggota jawatankuasa Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) akan diumumkan pada 18 Julai. 

Projek pembangunan Kampung Baru meliputi kawasan seluas 151.57 hektar iaitu lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu 40 hektar, yang juga antara projek pembangunan hartanah terbesar di dunia. 

Dalam perkembangan lain, Raja Nong Chik berkata kerajaan sentiasa menitikberat soal kebajikan penduduk sebelum melaksanakan sebarang pembangunan di kawasan sekitar Kuala Lumpur. 

Dalam rancangan pembangunan Kampung Kerinchi, beliau berkata kerajaan hanya memindahkan penduduk ke kawasan baru yang berhampiran kediaman mereka kerana tidak mahu menyusahkan penduduk berkenaan seperti perlu menukar sekolah anak jika dipindahkan ke kawasan yang jauh dari kediaman asal mereka. 

"Pembangunan Kampung Kerinchi adalah satu projek untuk rakyat tetapi apabila ia dipolitikkan oleh pembangkang. 

"Akibatnya, lapan peratus penghuni yang menentang usaha pembangunan kerajaan itu hanya menerima pampasan RM70,000 manakala yang lain memperoleh rumah yang bernilai hampir setengah juta," katanya. 

Seramai 421 penghuni rumah pangsa empat tingkat di Kampung Kerinchi bakal mendapat manfaat di bawah konsep Kehidupan Baru K-Baru apabila pembinaan Kerinchi Residensi berkeluasan setiap unit 882 kaki persegi dengan tempoh pajakan 99 tahun, dijangka siap menjelang tahun 2015. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment