My Add

Monday 23 July 2012

Iran desak PBB bantu etnik Rohingya

GENEVA, AHAD, 22 Julai, 2012: Iran menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan dalam usaha untuk menamatkan konflik etnik dan agama di barat Myanmar yang disifatkannya sebagai pembersihan etnik minoriti beragama Islam, lapor saluran televisyen di Teheran, Press TV.

Wakil tetap Iran ke PBB, Mohammad Khazaie berkata, pertubuhan dunia itu perlu mengambil pendekatan segera bagi memelihara semangat piagam PBB dan melindungi hak asasi penduduk Islam di sana.

"PBB perlu menggesa kerajaan Myanmar menamatkan tindakan kekerasan terhadap rakyatnya beragama Islam.

"Kekejaman oleh pasukan keselamatan Myanmar baru-baru ini terhadap golongan minoriti beragama Islam di wilayah Rakhine menyebabkan kehilangan nyawa dan penderitaan beratus-ratus rakyat tidak bersalah, kemusnahan masjid, rumah dan pengusiran rakyat dari negara mereka, tindakan yang melanggar hak asasi manusia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Navi Pillay serta Pengarah Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Valeri Amos.

Khazaie berkata, pembersihan etnik dan agama berasaskan apa-apa alasan tidak boleh diterima di bawah undang-undang antarabangsa.

"Ia lebih membimbangkan dengan kenyataan pihak berkuasa Myanmar yang mencadangkan cubaan untuk melucutkan kewarganegaraan penduduk minoriti Islam itu walaupun terdapat fakta etnik Rohingya telah tinggal selama beberapa kurun di sana," ujarnya.

Beliau turut menggesa Ki-moon segera campur tangan dan bersikap lantang seperti mana pendekatan yang diambil dalam situasi seumpama itu sebelum ini, bagi menghentikan konflik berkenaan.

Beliau turut memberi amaran ketiadaan sebarang tindakan diambil oleh masyarakat antarabangsa terhadap pelanggaran hak asasi manusia oleh kerajaan Myanmar, akan terus menyumbang kepada pelanggaran hak asasi manusia dalam hubungan antarabangsa. - AGENSI

No comments:

Post a Comment