My Add

Sunday 8 July 2012

Jakarta tak termakan hasutan Anwar: TPM

MUHYIDDIN hadir pada sesi dialog bersama pemimpin pelajar Malaysia di Bali, semalam.Pengaruh tidak sehebat gambaran dicanang

BALI. SABTU, 07 Julai, 2012: Kerajaan dan parti politik di Indonesia tidak terpengaruh dengan dakyah dan pembohongan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pengaruhnya di republik itu tidak sehebat gambaran yang diberikannya. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Indonesia berpegang teguh kepada hubungan dua hala sedia terjalin antara kedua-dua negara dan memahami situasi sebenar mengenai Ketua Umum PKR itu. 

Beliau berkata, pemimpin di Indonesia juga kini semakin memahami iklim politik Malaysia dan memilih untuk mengakui hubungan baik itu, yang sudah terjalin sejak sekian lama.

“Bagi saya tidaklah sebegitu rupa seperti yang digambarkan oleh beliau (Anwar) seolah-olah dia (Anwar) di Indonesia cukup berpengaruh.

"Saya melihat perkara itu tidak benar. Dalam media-media tempatan (di Indonesia) tiada ruang besar yang membuktikan beliau cukup hebat.

"Saya percaya mereka tak termakan hasutan dan terpengaruh dengan dakyah beliau lakukan terhadap negara kita," katanya kepada media Malaysia di Nusa Dua di sini, hari ini.. 

Muhyiddin berada di sini dalam rangka lawatan enam hari ke Indonesia untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia selain berbincang mengenai isu yang sering mengganggu hubungan di peringkat rakyat di kedua-dua negara.

Anwar burukkan Malaysia

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian mengulas tindakan Anwar yang dikatakan suka memburuk-burukkan Malaysia dengan menggunakan media di Indonesia.

Malah, katanya, isu Anwar langsung tidak dibangkitkan tiga pemimpin parti politik utama republik itu, iaitu Ketua Umum parti Golkar, Aburizal Bakrie; Ketua Umum Parti Demokrat, Annas Urbaningrum dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputeri ketika pertemuannya secara berasingan dengan mereka di Jakarta, Selasa lalu.

“Kita tidak menolak bahawa Anwar ada kenalan lama di Indonesia, namun tidak menggambarkan keseluruhan situasi sebenar mengenai negara kita seperti beliau gambarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin Yassin menyifatkan lawatannya ke Indonesia berjaya.

Sebagai contoh katanya, Jogjakarta memberi impak besar dalam sektor pendidikan serantau kerana buat kali pertama dalam sejarah ASEAN, negara anggota menjalin kerjasama dengan negara sahabat di luar rantau dalam bidang pendidikan menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran (EMM) ASEAN+3. - BH

No comments:

Post a Comment