My Add

Wednesday 11 July 2012

'Jangan naikkan harga tayar'

*ISMAIL Sabri Yaakob (depan, dua dari kiri) bersama timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim (kiri) turut membeli barangan keperluan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) selepas merasmikan kedai tersebut di Batu 11, Jalan Serian-Kuching, semalam.

Oleh ZAAIN ZIN
KUCHING, SLASA, 10 Julai, 2012: Peniaga tayar kereta yang didapati menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya memandang serius tindakan segelintir peniaga yang menjual tayar dengan harga tidak munasabah itu sebaik sahaja inisiatif Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) diumumkan kerajaan.

"Sama ada harga tayar naik atau turun, itu adalah normal. Tayar bukan barang kawalan, jadi kita tidak dapat mengawal kenaikan harganya.

"Bagaimanapun dalam hal ini, kita telah mengambil senarai nama panel yang menerima baucar tersebut di samping mendapatkan senarai harga tayar daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya ia dapat dipantau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjuan mesra ke Pasar Komuniti Kenyalang, di sini hari ini.

Di bawah inisiatif TR1M yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu, lebih 67,000 pemandu teksi layak menerima baucar sebanyak RM520 bagi menggantikan empat tayar kenderaan masing-masing.

Bagaimanapun, sebaik sahaja perkara tersebut diumumkan, terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga tayar sewenang-wenangnya kerana ingin mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Mengenai kes kecurian minyak diesel merentasi sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Ismail Sabri memberitahu, satu mesyuarat melibatkan Team Teknik Menangani Penyeludupan Sempadan sedang diadakan di Pontianak bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Saya pernah ke sebuah kawasan di Serian, warga asing di Pontianak datang ke sini melalui jalan tikus untuk membeli barang keperluan sebelum membawanya pulang. Ia juga boleh dianggap sebagai penyeludupan," katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menangani kes tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment