My Add

Sunday 8 July 2012

Jangan nilai kerajaan ikut persepsi: PM

SHAH ALAM, SABTU, 07 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata generasi muda patut menilai pencapaian kerajaan dari semua sudut dan bukannya berdasarkan persepsi dan retorik politik. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata generasi muda perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran berfikir secara mendalam agar tahu membezakan persepsi yang sengaja dilontarkan oleh pihak tertentu, terutamanya menerusi internet dan media sosial yang tidak berasaskan kebenaran.

"Inilah generasi yang patut boleh menilai ini semua... bukan soal persepsi. Jangan fikirkan semata-mata kita ni kerajaan, kita tak betul.

"Kalau kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sekarang tidak betul, Malaysia tidak akan membangun seperti hari ini dan Insya-Allah dalam beberapa tahun lagi, Malaysia akan mencapai status negara maju," katanya. 

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan Konvensyen Pemikir Muda Malaysia anjuran Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia (PPM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dan Universiti Teknologi MARA di sini. 

Perdana Menteri berkata, tidak semua negara mempunyai perancangan terperinci seperti yang dilakukan Malaysia untuk mencapai status negara maju kerana kerajaan berkemampuan untuk memimpin negara dalam melakukan transformasi yang besar. 

Hakikatnya, katanya, Malaysia bukanlah kisah sebuah negara yang gagal dan kalau disingkap kembali detik perjalanan Malaysia yang dipimpin oleh kerajaan sekarang selama 55 tahun, banyak kejayaan yang dilakar sehingga negara ini boleh ditakrifkan sebagai kisah sebuah negara yang berjaya.  

Beliau berkata, kebanyakan orang muda mengutamakan apa yang terjadi hari ini dan masa akan datang tetapi hakikatnya jika mereka tiada perspektif sejarah, maka mereka akan kehilangan punca kerana tidak mengetahui dari mana mereka datang atau asal-usul masing-masing. 

Justeru, katanya, ada generasi muda yang tidak tahu jerih payah dan kesusahan serta pengorbanan pemimpin terdahulu untuk mewariskan kepada mereka sebuah negara yang jauh lebih baik. 

"Sebab itulah sebagai generasi muda, kita tidak boleh generasi yang buta sejarah dan kita tidak boleh generasi yang tidak menghargai perjuangan generasi terdahulu daripada kita," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment