My Add

Wednesday 18 July 2012

Jangan sampai isu air melangkah ke peti undi

RABU, 18 Julai, 2012:
ANALISIS - Setelah dibelenggu isu sampah, Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihantui kontroversi krisis air.

Menurut Sinar Harian, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tampil mendesak pimpinan Khalid supaya lebih bersikap terbuka dan menerima Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 supaya masalah air ini dapat diatasi.

Tidak kurang juga pemimpin dari Barisan Nasional (BN) yang membidas Khalid dalam isu ini dan juga kepimpinan beliau dalam menangani masalah penurunan paras air.

Awal minggu ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengumumkan mahu melaksanakan catuan air.

Sebagai tindak balas, Khalid mengumumkan kerajaan negeri akan mengambil alih pentadbiran Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana ragu dengan keputusan entiti itu mahu berbuat demikian walhal air tadahan di empangan dikatakan melimpah-limpah.

Melihat situasi ini, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, senario main tarik tali ini pada akhirnya hanya akan mengundang kemarahan rakyat terutama di Selangor.

Keadaan ini katanya, akan menjejaskan peluang terutama kepada Umno-Barisan Nasional untuk merampas kembali Selangor kerana rakyat berpandangan isu air ini sengaja dipolitikkan oleh pusat dengan menjadikan Syabas sebagai kuda tunggangan.

“Keadaan ini tidak bagus untuk pemerintah dan ia juga tidak bagus untuk kerajaan negeri Selangor dan rakyat. Namun tindakan-tindakan daripada pemimpin Pusat mahu pun negeri (dalam isu air) nampaknya tidak masuk akal.

“Rakyat marah kerana ini untuk kepentingan politik,” ujar beliau.

Rakyat menurut beliau, akan menterjemahkan kemarahan mereka melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Berdasarkan siasatan yang kita lakukan, kita yakin jika isu ini berterusan, Kerajaan Pusat tidak akan dapat mengambil alih Selangor.

“Dua tiga bulan sebelum ini mereka terbuka untuk menerima Kerajaan Pusat tetapi sekarang mereka merasakan ada kumpulan tangan hitam mereka-rekakan krisis air ini, mereka jadi marah,” tambah beliau.

Sementara itu, seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat juga mendakwa krisis air yang dilaporkan melanda Lembah Klang hanyalah rekaan semata-mata bagi membolehkan Projek Langat 2 direaliasasikan.

Bahkan dakwa Charles Santiago, Kerajaan Pusat telah menjanjikan habuan kepada Puncak Niaga Holdings Berhad peranan dalam pengurusan air dari Pahang itu sekiranya “krisis air” ini berjaya diwujudkan.

“Saya dengar ura-ura daripada orang dalam industri air, Puncak Niaga telah dijanjikan dengan Projek Langat 2.

“(Apa yang menjadi) masalah sekarang ini ialah Syabas. Kita ada banyak air mentah tetapi ia seolah-olah tidak digunakan langsung. Apa yang mereka buat sekarang ialah mereka mewujudkan satu krisis supaya loji rawatan Langat 2 diberikan kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Ahli Parlimen Klang itu menambah, justeru, adalah penting satu badan bebas dibawa masuk ke dalam Syabas yang saham terbesarnya dimiliki oleh Puncak Niaga untuk melakukan audit secara menyeluruh.

“Jika tidak teka-teki ini akan berlarutan dan yang menjadi mangsa ialah pengguna air di Selangor.

“Persoalan kita sekarang ialah apakah matlamat sebenar Syabas? Adakah ini satu cara untuk menggugat Kerajaan Negeri Selangor?” kata beliau.

Katanya, air adalah sesuatu yang sangat penting dan ia boleh menimbulkan kemarahan kepada kerajaan negeri.

Senario ini katanya, sekali gus "memanaskan" lagi hubungan di antara kerajaan Pusat, Selangor dan Syabas sendiri yang sememangnya tegang sejak pentadbiran Selangor bertukar tangan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, isu air ini sudah jauh terpesong apabila kedua-dua pihak, Kerajaan Pusat dan negeri kononnya masing-masing mahu menjadi juara rakyat.

“Mereka ingin memperjuangkan isu air untuk menunjukkan kepada rakyat dasar siapa lebih bagus,” katanya.

Namun jelas beliau, dalam hal ini apa yang lebih penting ialah bagaimana menyelesaikan krisis air ini sekiranya ia benar-benar berlaku.

Meja rundingan menurut beliau, adalah jalan terbaik memandangkan isu air ini begitu besar dan perlu ditangani secara berhemah.

“Apa yang mustahak ialah jaminan bekalan air yang bersih kepada rakyat,” tegas beliau.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Shukor Idrus menyelar tindakan Kerajaan Negeri yang berhasrat untuk mengambil alih pentadbiran Syabas.

Menurut beliau, masih banyak tanggungjawab pentadbiran dan agenda memajukan negeri yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan Selangor hari ini daripada masuk campur dalam urusan yang tiada dalam kepakaran mereka.

“Terlalu banyak yang hendak dibuat. Pembangunan Sungai Klang pun mereka kata mereka nak buat.

“Sepatutnya kerajaan negeri menumpukan kepada kerja-kerja pembangunan untuk rakyat yang sudah banyak terbengkalai,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Syukor berkata, inisiatif Kerajaan Pusat dalam menjayakan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 tidak harus dipandang daripada sudut politik.

Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Khalid harus memiliki keazaman politik yang tinggi dalam mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti.

“Ini bukan perkara main-main. Ini untuk masa depan semua. Keperluan air ini untuk semua.

“Kalau begini lah rupanya cara pentadbiran kerajaan negeri berpolitik tanpa memikirkan masalah rakyat, saya ingat rakyat kena tolak pemimpin politik yang seperti ini,” tambah beliau.

Orang boleh marah kerana tiada air. Rakyat boleh kecewa jika tiada air. Pengundi boleh menterjemahkan di peti undi. Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Benar atau tidak krisis air, nampaknya krisis air menjadi modal politik. Bahan kempen pra-PRU13.

No comments:

Post a Comment