My Add

Tuesday 10 July 2012

Jongkong emas lebih RM2 juta nanti pemain badminton

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Julai, 2012: Jongkong emas untuk pemenang pingat emas. Itulah ganjaran yang bakal diterima pemain badminton Malaysia yang menyumbangkan pingat emas kepada negara pada Sukan Olimpik London akan datang. 

Memperkenalkan insentif itu pada sidang media di sini hari ini, Presiden Kuala Lumpur Rackets Club (KLRC) Datuk Seri Andrew Kam berkata beliau akan menyerahkan jongkong emas seberat 12.5kg bernilai lebih RM2 juta itu kepada pemenang pingat emas. 

"Jika terdapat lebih daripada dua pemenang pingat emas, jongkong emas itu akan dibahagikan sama rata," katanya bahawa insentif jongkong emas itu hanya diberikan kepada pemain badminton kerana beliau meminati sukan berkenaan. 

Melontarkan cabaran kepada pemain badminton negara meraih pingat emas pertama Malaysia di Olimpik, beliau berkata tumpuan rakyat Malaysia ialah terhadap pemain badminton kerana peminat meminati sukan berkenaan. 

"Saya boleh menghasilkan emas, saya percaya mereka juga boleh menghasilkan emas (pingat)," kata Kam yang memiliki lombong emas di Raub, Pahang. 

Secara peribadi, Kam percaya Datuk Lee Chong Wei masih menjadi taruhan terbaik Malaysia untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik. 

"Beliau (Chong Wei) adalah harapan terbaik Malaysia. Beliau adalah satu-satunya pemain yang boleh menandingi Li Dan (China). 

"Kita juga boleh bergantung kepada beregu campuran (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying). Kita tidak tahu, mereka mungkin boleh membuat kejutan di Olimpik. Beregu lelaki kita (Koo Kien Keat-Tan Boon Heong) juga berpotensi dan antara pemain berpengalaman," kata Kam. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi dan enam pemain badminton negara yang akan beraksi di Olimpik London iaitu Chong Wei, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying dan Tee Jing Yi. 

Mengenai insentif terkini yang diberikan kepada skuad badminton, Chong Wei berkata insentif itu akan memberi sokongan moral kepada mereka. 

"Ia bukan kali pertama saya mendapat peluang memegang jongkong emas ini, ia adalah kali kedua. Kali pertama ketika saya melawat lombong emas berkenaan. 

"Saya harap kali kedua saya memegangnya, ia akan menjadi milik saya," kata Chong Wei dalam nada gurau. 

Sementara itu, Sieh berkata insentif yang diberikan syarikat swasta untuk atlet yang beraksi di Olimpik, tidak akan memberi tekanan kepada mereka dalam usaha menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia pada Olimpik. 

"Saya tidak fikir insentif yang diberikan syarikat-syarikat swasta ini akan memberikan tekanan kepada atlet kerana kebanyakan mereka berpengalaman. 

"Saya percaya mereka tidak bertanding untuk wang tetapi mereka akan bersaing di Olimpik untuk kebanggaan negara. Wang bukan segala-galanya," kata Sieh. 

Chong Wei dan lima lagi pemain badminton negara akan berlepas ke London pada Khamis ini, sebagai penyediaan terakhir mereka di Universiti Bath. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment