My Add

Monday 23 July 2012

KBS peruntuk RM1.265j untuk Rakan Muda Ramadan

KEMAMAN, isnin, 23 Julai, 2012: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM1.265 juta kepada 600 buah masjid dan surau di seluruh negara bagi melaksanakan program Rakan Muda Ramadan tahun ini. 

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihaknya menyasar penyertaan seramai 24,200 remaja di dalam program tersebut seperti solat tarawih dan witir secara berjemaah, bertadarus al-Quran serta aktiviti lain.

"Kesemua remaja ini diharap dapat meneruskan budaya berteraskan al-Quran di dalam apa juga aktiviti yang bakal dilakukan supaya menjadi benteng kepada mereka daripada terjebak ke kancah gejala sosial. 

"Rakan Muda Ramadan juga tidaklah harus tertumpu kepada program berbentuk ibadah agama saja di masjid, sebaliknya perlu turut serta dalam aktiviti berbentuk sukarela seperti bergotong-royong membersihkan masjid dan membantu ahli jawatankuasa masjid menyiapkan juadah untuk berbuka puasa," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Majlis Ihya' Rakan Muda Ramadan peringkat kebangsaan 2012 di Masjid Geliga di sini, malam tadi. 

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyerahkan cek sumbangan kepada semua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri untuk melaksanakan program itu di negeri masing-masing. 

Program Rakan Muda Ramadan bermula sejak 1994 di surau atau masjid terpilih di setiap daerah. 

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan cermin mata kepada 120 penerima di dalam kawasan parlimen Kemaman serta mengagihkan bubur lambuk. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment