My Add

Sunday 8 July 2012

Kekayaan FELDA terus dijana: Najib

     Kejayaan tutup mulut, fitnah pembangkang

*PENGURUS FELDA Nitar 2, Abdul Aziz Talib (tengah) bersama penduduk Wilayah Segamat, Johor meraikan kejayaan selepas merangkul Juara Anugerah Keceriaan Kampung FELDA 2012 dengan membawa pulang RM1 juta pada sambutan Hari Peneroka 2012, di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 07 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan akan terus menjana kekayaan FELDA bagi menjamin kesenangan peneroka pada masa depan. 

Perdana Menteri berkata, kewujudan menara FELDA setinggi 50 tingkat bernilai RM700 juta di tengah ibu kota menjadi bukti transformasi serta lonjakan berganda badan itu selaras dengan kemajuannya. 

Malah, katanya, pembinaan menara itu juga yang turut menerima Anugerah Hartanah Asia Pasifik membuktikan FELDA tidak bankrap seperti tohmahan pihak tertentu. 

Selain itu, katanya, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Kuala Lumpur, baru-baru ini juga adalah keputusan tepat dan menguntungkan kerana hari ini ia sudah mencatat keuntungan. 

“Kos bangunan ini adalah RM700 juta, tapi hari ini, nilai semasanya adalah RM965 juta. Belum masuk (duduki) sudah untung RM265 juta. Bukankah ini satu keputusan yang menguntungkan.

Mesej kepada ‘makhluk perosak’ 

“Kita bagi mesej kepada ‘makhluk perosak’, puak sana, masyarakat dan dunia bahawa FELDA kini sudah berjaya di persada antarabangsa dan FELDA akan jana lebih banyak kekayaan untuk diagihkan kepada peneroka dan masyarakat Malaysia. 

“Saya tanya pihak bank berapa ramai peneroka sudah jual saham mereka, katanya terlalu sedikit dan ini membuktikan bahawa masyarakat FELDA begitu yakin dengan kerajaan,” katanya berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka 2012 di sini, semalam.

Beliau turut merasmikan Menara FELDA yang terletak di Jalan Binjai, di sini, yang mana lapan tingkat daripadanya akan dijadikan pejabat urusan FELDA manakala selebihnya akan disewakan kepada syarikat korporat dan multinasional.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan serta Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.

Lebih banyak ‘durian runtuh’ 

Perdana Menteri dalam ucapannya turut membayangkan lebih banyak ‘durian runtuh’ akan dinikmati peneroka sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi kepercayaan mentadbir negara. 

Katanya, bayaran durian runtuh yang dijanjikan kerajaan kepada isteri peneroka akan diselesaikan dalam bulan Ramadan ini. = BH

No comments:

Post a Comment