My Add

Tuesday 10 July 2012

'Keldai dadah' Malaysia ditahan di Peru pulang ke tanah air

SEPANG, ISNIN, 09 Julai, 2012: Hasrat seorang wanita warga Malaysia yang mahu kembali ke negara ini selepas lima tahun ditahan di Peru kerana disyaki terbabit sebagai keldai dadah akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya dibawa pulang oleh Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, hari ini.

Kepulangan Punithamani K Samy, 55, disambut gembira abang sulung, K Gangadorai, 64, dan adik bongsunya, K Balan, 50, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata Punithamani ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Peru pada 2005 kerana disyaki membawa bungkusan barang terlarang iaitu dadah. 

"Mangsa sebenarnya ditipu satu sindiket pengedaran dadah warga Nigeria yang berpangkalan di Segambut. Pada mulanya sindiket ini mempengaruhi mangsa dengan menjalankan perniagaan berasaskan barangan kosmetik dan perhiasan batu permata dari Sepanyol ke Peru.

"Oleh kerana terpedaya dengan tawaran pendapatan lumayan akhirnya mangsa bersetuju. Namun apabila tiba di Peru mangsa dipaksa dan diacukan pistol oleh dua individu yang tidak dikenali untuk membawa bungkusan yang tidak diketahui isi kandungannya ke Itali," katanya selepas berjaya membawa pulang Punithamani dari Peru di KLIA, di sini, hari ini.

Muhd Khairun berkata, apabila tiba di lapangan terbang mangsa ditahan kerana membawa bungkusan yang sebenarnya berisi dadah. Punithasami dijatuhkan hukuman penjara enam tahun tetapi berjaya dibebaskan pada 2010 atas budi bicara pihak penjara Peru.

Selepas itu beliau terpaksa menjalani proses pemantauan polis (parol) selama dua tahun setengah di Gereja Convent di Peru. Bagaimanapun, selepas rayuan yang dibuat oleh kedutaan Malaysia kepada kerajaan Peru, Punithamani akhirnya dibebaskan minggu lalu.

No comments:

Post a Comment