My Add

Sunday 8 July 2012

Kerajaan Selangor tak bayar RM1 bilion selamat Talam

Tony Pua
SHAH ALAM, SABTU, 07 Julai, 2012:Kerajaan Negeri tidak pernah membayar sebanyak RM1 bilion untuk menyelamatkan syarikat pembinaan, Talam Corporation Bhd (Talam), seperti yang didakwa MCA, Selasa lalu.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, dakwaan yang dibuat Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong itu tidak benar kerana Talam tidak pernah menerima satu sen wang Kerajaan Negeri, sebaliknya, syarikat itu terpaksa melunaskan hutang tertunggak mereka berjumlah RM392 juta, ketika Selangor di bawah Barisan Nasional (BN).

Katanya, bagi mengutip hutang Talam terhadap Universiti Selangor (Unisel), Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) dan Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Kerajaan Negeri telah menubuhkan Perbadanan Menteri Besar (MBI), pada 2008.

“Talam berhutang dengan Unisel sebanyak RM255 juta, KHSB (RM115 juta) dan PNSB (RM22 juta)," katanya. - Sinar Harian

“Selepas berbulan-bulan rundingan, Talam telah bersetuju untuk membuat bayaran penuh sebanyak RM392 juta dalam bentuk wang tunai dan aset, dalam dua pecahan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, Talam telah membayar sebanyak RM12.7 juta secara tunai dan selebihnya, ia dilunaskan menerusi aset syarikat berjumlah RM676 juta yang masih mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM266.2 juta dan RM30.5 juta.

“Ini bermakna, jumlah aset bersih yang diperoleh MBI daripada Talam hanyalah RM379.2 juta dan setelah ditambah dengan tunai yang dibayar syarikat itu sebelum ini, MBI telah terima RM392 juta.

Kenyataan itu sekali gus menyangkal dakwaan yang dibuat Tee Yong yang mengaitkan Kerajaan Negeri dengan pembelian aset bernilai RM676 juta dan penggunaan peruntukan RM392 juta berkaitan Talam.

Tony mendakwa, Tee Yong cuba mengelirukan orang ramai dengan kenyataan berkenaan kerana gagal membezakan antara membeli aset dan mengambil alih aset sebagai sebahagian daripada pemulihan hutang.

Beliau menggesa Tee Yong dan pemimpin MCA Selangor untuk memohon maaf secara terbuka kerana telah mengelirukan rakyat termasuk dakwaan menyatakan Kerajaan Negeri telah terlebih bayar untuk sebidang tanah berkaitan Talam.

“Mereka mempunyai masa 24 jam untuk menarik balik tuduhan yang tidak berasas. Jika tidak, saya akan mengadakan satu lagi sidang akhbar pada masa yang sama esok (hari ini) berhubung perkara itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment