My Add

Wednesday 11 July 2012

Kerjasama strategik kerajaan-industri perlu terus ditingkatkan

PUTRAJAYA, SELASA, 10 Julai, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kerjasama strategik antara pihak kerajaan dan industri terus ditingkatkan bagi memastikan perkembangan latihan kemahiran bergerak seiring dengan kemajuan teknologi serta inovasi.

Katanya, pendekatan itu perlu dilaksanakan dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir negara yang kompetitif dan unggul.

"Usaha yang komprehensif dan bersepadu daripada pihak awam, swasta dan masyarakat akan dapat meningkatkan keberkesanan pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif kerajaan memperkasakan latihan kemahiran termasuklah penganjuran pertandingan kemahiran.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru majikan-majikan di sektor swasta supaya tampil menyokong dan menaja pertandingan kemahiran seperti ini agar menjadi lebih kompetitif serta berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Perdana Warga Kemahiran 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Seramai 5,000 peserta terdiri daripada pelajar dan tenaga pengajar pusat latihan kemahiran awam dan swasta serta institut latihan peringkat negeri hadir pada perhimpunan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, melalui pengenalan program dan intervensi yang tepat dengan penglibatan insentif daripada sektor swasta, beliau yakin bilangan pekerja berkemahiran tinggi akan meningkat.

"Kita yakin bahawa bilangan pekerja kemahiran tinggi negara akan terus meningkat kepada satu pertiga daripada jumlah guna tenaga menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020 setanding dengan negara-negara maju.

"Pada masa ini, Malaysia masih kekurangan tenaga kerja mahir berbanding negara-negara lain. Hanya 25 peratus daripada tenaga buruh negara terdiri daripada pekerja berkemahiran tinggi," katanya.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri kepada pemenang peserta Pertandingan Kemahiran Malaysia dan Pertandingan MySkills.

Beliau tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada para peserta yang memenangi pertandingan berkenaan.

"Tahniah dan syabas dan diharapkan peserta akan terus berusaha meningkatkan prestasi bagi menyertai pertandingan di peringkat ASEAN Skills Competition dan seterusnya di peringkat World Skills Competition," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment