My Add

Sunday 22 July 2012

Kit Siang jangan cakap tak serupa bikin, kata Tengku Adnan

Lim Kit Siang
PUTRAJAYA, AHAD, 22 Julai, 2012: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu pemimpin pakatan pembangkang khususnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggotakan janji untuk bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang pada masa akan datang. 

Beliau berkata, BN tidak mahu sejarah hitam pada 1969 itu berulang dan menggugat kestabilan, keamanan dan ketenteraman awam yang dinikmati sekarang. 

"Saya berharap mereka (pakatan pembangkang) akan lakukan seperti apa yang mereka cakap. Jangan cakap tak serupa bikin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program berbuka puasa beramai-ramai Maidatul Rahman anjuran UMNO Bahagian Putrajaya di sini, malam tadi. 

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Lim yang juga Anggota Parlimen Ipoh Timur semalam bahawa pakatan pembangkang sedia memberi kerjasama penuh dengan BN untuk mengelakkan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 berulang.

Tengku Adnan mengingatkan semua pemimpin dan penyokong parti supaya tidak keluar secara beramai-ramai untuk meraikan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang kerana ia akan mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong kedua-dua pihak.

Beliau yang tinggal di Kampung Baru ketika kejadian 1969 itu berkata, kejadian rusuhan kaum pada ketika itu adalah berpunca daripada segelintir pemimpin dan penyokong pembangkang yang keluar berarak beramai-ramai untuk meraikan kemenangan di beberapa kerusi parlimen. 

"Sesiapa yang menang, perlu bersabar, tenang dan tidak terlalu teruja. Apabila (dalam keadaan) terlalu teruja, ia akan naik ke kepala dan anda akan cenderung melakukan tindakan yang tidak elok. Akhirnya ia akan menjejaskan masyarakat berbilang kaum," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment