My Add

Thursday 19 July 2012

Komik berpotensi tarik minat belajar jawi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Percaya atau tidak, komik mampu menarik minat masyarakat tanpa mengira bangsa untuk mempelajari tulisan jawi.

Itulah yang diakui oleh pelukis dan animator bebas, Ahmad Nazri Mahmood, 38.

Dalam satu temu ramah yang diadakan di pejabatnya, Frame to Frame Production Sdn. Bhd. di Subang Jaya, baru-baru ini, beliau mendakwa komik ekperimennya, "Annur dan Miau" berjaya menarik minat lebih 2,000 pembaca di laman sosial Facebook, kurang sebulan selepas dimuat naik.

Nazri yang memegang hak intelek komik itu turut memberitahu Utusan Online, ilustrasi jawi berkenaan juga berjaya menarik minat pembaca berbangsa Cina dan India.

Beliau menjelaskan, daripada respons di laman Facebooknya, pembaca bukan Melayu menyatakan bahawa mereka tertarik dengan konsep komik tersebut dan menganggap ia merupakan satu teknik persembahan baru serta amat unik.

"Memang pada mulanya mereka tidak memahami tulisan (jawi) itu tetapi dengan bantuan rakan-rakan Facebook yang lain para peminat Cina dan India berkenaan kini boleh membacanya sedikit demi sedikit.

"Minat pembaca Melayu dan bukan Melayu ini membuktikan bahawa komik merupakan antara medium paling efektif untuk mempopularkan tulisan jawi," katanya sambil menunjukkan respon-respon yang diterima di laman Facebook milik beliau.

Beliau turut menyatakan harapan agar pihak-pihak yang berkenaan turut serta membantu dalam usahanya untuk meningkatkan kembali minat terhadap tulisan jawi melalui kaedah yang sama mahupun yang lain.

Jelas beliau, jika usaha sebegini tidak diberi sokongan dan bantuan, dikhuatiri pada masa hadapan tulisan jawi akan menghadapi kepupusan.

Saksikan video temu ramah Utusan Online dengan Ahmad Nazri dihttp://xtive.utusan.com.my/video.php?v=589 - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment