My Add

Monday 23 July 2012

Konflik di Syria semakin meruncing

Oleh SOFIAN BAHAROM
KUALA LUMPUR, AHAD, 22 Julai, 2912: Konflik di Syria semakin meruncing apabila kereta-kereta kebal tentera pimpinan Presiden Bashar al-Assad dilihat memasuki Damsyik, tempat di mana pelajar dan rakyat Malaysia kini berlindung.

Lebih mengejutkan, kejadian tembak menembak dan letupan bom di beberapa kawasan tumpuan penuntut Malaysia turut berlaku sehingga terdapat dalam kalangan mereka yang hampir terkena tembakan yang dilepaskan rejim tentera dan puak pemberontak.

Menceritakan pengalaman tersebut, pelajar Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Jamiah Fatah Islami, Syed Amni Syed Mohamed berkata, salah seorang rakannya hampir terkena tembakan apabila sebutir peluru sesat melalui atas kepala rakannya itu ketika berada di luar kawasan perlindungan.

"Keadaan di Damsyik sekarang tak menentu, kadangkala aman kadangkala huru-hara. Senjata berat sudah mula memasuki Damsyik termasuk kereta-kereta kebal. Berlaku tembak menembak di beberapa kawasan dan sering terdengar bunyi letupan bom pada waktu petang dan malam.

"Kami semua akan dihantar pulang dan saya mohon doa daripada rakyat Malaysia semoga kami selamat ke tanah air," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini

Konflik di Syria semakin meruncing apabila pertempuran yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 302 orang terbunuh termasuk 109 penduduk awam iaitu angka korban tertinggi sejak kebangkitan rakyat tercetus di negara tersebut.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam telah mengarahkan pelajar dan warga Malaysia di negara bergolak itu dibawa pulang ekoran krisis yang semakin meruncing tersebut.

Jelas Syed Amni, perhubungan di tempat perlindungannya di Shariq Khalid Ibnu Walid seakan-akan terputus berikutan penutupan banyak jalan di Damsyik menyebabkan bantuan makanan dan perubatan sukar untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Kami berharap proses membawa pulang rakyat Malaysia yang dilakukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar berjalan lancar tanpa berlaku sebarang kehilangan jiwa, memandangkan keadaan bertambah genting kini," ujarnya.

Seorang lagi pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Maahad Duali,Abdullah Mohd. Shauki pula berkata, solat tarawih yang dijalankan di masjid-masjid sekitar Damsyik terpaksa dilakukan lapan rakaat sahaja kerana khuatir keadaan huru-hara itu boleh mengancam nyawa makmum.

"Kami juga tidak dapat menghubungi keluarga di tanah air memandangkan talian komunikasi di kawasan tersebut telah dilemahkan rejim tentera. Suasana di Damsyik yang lazimnya meriah ketika Ramadan kini bertukar sunyi dengan penutupan kebanyakan premis peniagaan," katanya.

Sementara itu, pelajar tahun keempat Pengajian Dakwah Universiti Fatah,Muhammad Qassim Mohd. Shauki menjelaskan, keadaan huru-hara tersebut telah menyebabkan berlaku pembelian panik di premis-premis peniagaan.

Keadaan tersebut katanya, telah menyebabkan banyak barangan di pasaran habis dibeli, meninggalkan hanya makanan asas yang dijual dengan harga yang amat mahal serta di luar kemampuan penduduk tempatan.

Sementara itu, kumpulan pertama kira-kira 50 pelajar dan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Syria dijangka tiba di tanah air Selasa ini.

Jurucakap Wisma Putra berkata, pergerakan pulang kesemua rakyat Malaysia dengan menaiki pesawat itu akan dilakukan secara berperingkat mengikut kumpulan-kumpulan yang ditetapkan.

Buat masa ini, katanya, pihak kedutaan sedang giat mengumpul serta menyelaras visa keluar kesemua 138 rakyat Malaysia terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan kedutaan tersebut.

"Sehingga kini tiada lagi pelajar atau rakyat Malaysia yang ada di sana enggan pulang. Secara purata, seramai 50 orang akan dibawa pulang bagi setiap kumpulan penerbangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu lagi, maklumat terperinci berhubung jadual penerbangan serta nama penumpang akan dikeluarkan selewat-lewatnya esok sebagai rujukan kepada ahli keluarga di tanah air.

"Bilik Operasi Kementerian Luar telah dibuka dan orang awam boleh menghubungi 03-88874570 untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini," ujarnya.

"Keadaan ini amat menekan kami di sini. Setiap saat di sini mengancam kami semua, diharap segala rancangan membawa pulang rakyat Malaysia dapat dijalankan seberapa segera mungkin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment