My Add

Tuesday 17 July 2012

Liwat: Blog pro-UMNO dakwa pelajar buat laporan

Orang Anwar kata 'konspirasi III'

SHAH ALAM, SELASA, 17 Julai, 2012: Kira-kira 10 hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan penghakiman bertulis membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kes liwat, sebuah blog yang pro-Umno mendakwa satu laporan polis telah dibuat kononnya beliau meliwat seorang penuntut institut pengajian tinggi utara Semenanjung.

Sementara blog itu membawa laporan ini sejam sebelum tengah malam tadi, penyokong dan pegawai-pegawai Anwar dari PKR melihat ia sebagai konspirasi terbaru dan usaha terdesak pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk terus menyerang Anwar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mesej mengecam laporan itu turut dibuat menerusi Twitter dan Facebook.

Anwar telah dibebaskan daripada kes meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan awal Januari lalu. Susulan penghakiman bertulis itu, Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan dengan mengetengahkan sembilan alasan pada minggu lalu.

Saiful membuat laporan polis dia diliwat akhir Jun 2008.

Blog Papagomo menulis, dia mendapat maklumat ada satu laporan polis telah dibuat petang semalam terhadap Anwar, yang juga Ketua Umum PR dan PKR.

"Gomo baru mendapat maklumat bahawa petang tadi (semalam) ada laporan polis telah dibuat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh seorang mahasiswa dari utara yang menyatakan beliau telah diliwat oleh pemimpin PKR pada malam sebelumnya (kelmarin)," kata pemblog itu.

Bagaimanapun entri blog empat para itu berkata, dia tidak pasti sama ada laporan tersebut benar ataupun sebaliknya.

"Tidak diketahui sama ada laporan tersebut benar ataupun sebaliknya, namun yang pasti semua kedutaan dalam Malaysia diminta untuk tidak melindungi Anwar jika beliau bertindak menyembunyikan diri sepertimana kes liwat yang terdahulu," katanya dilihat merujuk kepada perkembangan ketika kes liwat kedua pada 2008.

Anwar ketika itu mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki atas alasan keselamatannya terancam.

Blog itu sebelum ini pernah menyiarkan beberapa klip rakaman menyentuh Anwar sejak awal tahun lalu.

Laporan blog itu turut membawa gambar dua lelaki berada dalam sebuah kereta polis, salah seorang dipercayai penuntut yang membuat aduan polis.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menerusi mesej Twitter menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai "sampah."

"Ada juga dengar-dengar tapi sampahlah bro (saudara)," kata beliau membalas mesej dua pengikutnya awal pagi ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, pesaing politik Anwar menggunakan modus operadi yang sama iaitu satu laporan polis dibuat dan ia akan disusuli dengan siasatan polis sebagaimana disaksikan dalam kes-kes sebelum ini.

Perkembangan terbaru ini jika benar dilihat akan mengganggu tumpuan Anwar, yang baru-baru ini berkata akan bersara jika gagal dalam misi menawan Putrajaya pada PRU13, mengemudi PR menghadapi pilihan raya umum.

"Malah, ia juga sama sebagaimana kita saksikan dalam video yang ditontonkan oleh Datuk K (kepada media awal 2011) untuk menjejaskan imej Datuk Seri Anwar. Malah ,ia muncul beberapa hari selepas Peguam Negara membuat rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah pun dibebaskan.

"Perkara (laporan) ini tidak mengejutkan kami sebab skrip adalah sama dan digunakan oleh musuh-musuh kami untuk pilihan raya umum," kata Shamsul Iskandar, yang juga seorang peguam.

Beliau menambah, ia akan membawa kesan buruk ke atas BN khususnya Umno selepas beberapa usaha mereka sebelum ini untuk memburukkan imej Anwar ternyata telah gagal.

Aktivis blogger Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan pula berkata, "adakah DSAI (Anwar) akan sekali lagi turun-naik mahkamah selama beberapa tahun?"

"Blog papagomo melaporkan seorang mahasiswa telah membuat laporan polis kononnya diliwat oleh DSAI baru-baru ini. Apakah ini taktik terbaru Umno untuk menghadapi PRU13 dengan mengalih tumpuan terhadap susuk yang pernah dua kali didapati tidak bersalah dalam konspirasi liwat satu dan dua," katanya lagi.

Katanya, perencanaan telah disusun dengan baik demi detik terpenting menghadapi pilihan raya "hidup mati Umno-BN."

"Lebih dilihat BN akan terlingkup dalam pilihan raya akan datang, maka sesuatu perlu dirangka sebelum terlambat, menjadikan PRU13 yang dicanang sejak pertengahan tahun lepas dianjak-anjak beberapa kali," katanya lagi.

Edy Noor juga berkata, Umno-BN yang kian hari kian terdesak akan menggunakan apa jua cara sekalipun bagi mengelak daripada tewas PRU-13, kedudukan yang bukan sahaja boleh menyebabkan harta hasil rasuah dirampas dan dikembalikan kepada rakyat, malah bakal ada pemimpin Umno yang akan menjengah ke tali gantung.

"Dijangkakan juga ramai bekas menteri yang akan naik basikal berseluar senteng bersama 'briefcase' usang di tangan.

"Biarpun terpaksa menggunakan SOP sedia ada, sekali gus menggunakan pakej persepsi yang telah dibina dari tahun 1998, apa sahaja cara untuk menghalang DSAI membawa rakyat menaiki takhta harus diguna pakai.

"Taktik 'diversion' dilihat mempunyai kesan serampang dua mata selain cubaan menjatuhkan reputasi anwar, mereka cuba merantai Anwar di pintu mahkamah," katanya sambil menambah, "sedangkan semua itu telah dilalui dengan berjaya oleh seorang Anwar didukungi semangat reformasi rakyat Malaysia."

Katanya, "maka apakah dengan kegusaran melampau ini, hadirlah slot terbaru konspirasi liwat ketiga?" - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment