My Add

Tuesday 17 July 2012

Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2017

KUALA LUMPUR, SELASA,17 Julai, 2012: Selepas 16 tahun sejak menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001, Malaysia sekali lagi akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 yang akan diadakan pada 2017. 

Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Myanmar hujung minggu lalu mengesahkan giliran Malaysia untuk menjadi tuan rumah sukan dwitahunan serantau itu pada 2017 berikutan tiada negara yang bersedia menawarkan diri sebagai tuan rumah.

 Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, yang menghadiri mesyuarat itu, berkata Sukan SEA 2013 akan diadakan di Myanmar dan selepas itu Singapura pula akan menjadi tuan rumah kejohanan pada 2015. 

"Sepatutnya selepas itu giliran Brunei tetapi negara berkenaan mahu menjadi tuan rumah pada 2019 bukannya Sukan SEA 2017. Oleh itu, Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017," katanya hari ini. 

Kali terakhir Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2001 apabila Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas, diikuti Thailand (103) dan Indonesia (72). 

Sejak Sukan SEA yang pertama di Bangkok, Thailand pada 1959, Malaysia sudah menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 1977, 1989 dan 2001. 

Satu-satunya negara anggota ASEAN yang belum menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah Kemboja dan negara itu sudah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment