My Add

Tuesday 10 July 2012

MALCOY 8 berlepas ke Lubnan laksana misi pengaman PBB

KUALA LUMPUR, ISNIN, 09 Julai, 2912; Penghantaran pasukan Malaysian Company (MALCOY) 8 hari ini bagi meneruskan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) adalah pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kewibawaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata pencapaian itu membuktikan ATM mampu memainkan peranan setanding dengan angkatan tentera lain dalam misi UNIFIL.

"Kita amat berbesar hati kerana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terus memberikan kepercayaan kepada kita bagi meneruskan misi kita di sana," katanya pada sidang media selepas majlis penghantaran kumpulan itu di Pangkalan Udara Subang dekat sini, hari ini. 

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan menemui anggota misi sebelum mereka berangkat ke Lubnan. 

Zulkifeli berkata, ia juga adalah satu menifestasi bahawa PBB dan kerajaan Lubnan memberikan sokongan padu kepada anggota ATM dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). 

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab seluruh anggota MALCOY 8 untuk memastikan pengiktifaran ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah Malaysia dan ATM di persada antarabangsa," katanya. 

Katanya, tahap disiplin yang tinggi dan sentiasa mengekalkan imej sebagai satu pasukan yang tinggi budi pekertinya dan sedia memberikan bantuan kepada yang memerlukan menjadi kunci kejayaan ATM dalam misi seperti ini sebelum ini. 

"Pengalaman dalam menjalankan 'Projek Jiwa Murni' di tanah air digunakan sebagai aset bagi anggota misi untuk turut menjalankannya di Lubnan. 

"Perkara-perkara seperti ini juga telah berjaya memenangi hati pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, pasukan-pasukan dari negara lain, kerajaan termasuk rakyat Lubnan," katanya. 

MALCOY 8 membabitkan 360 anggota terdiri daripada 46 pegawai dan 314 anggota lain-lain Pangkat (LLP). 

Kumpulan Induk MALCOY 8 terdiri daripada 34 Pegawai dan 166 anggota LLP serta 10 anggota ABDB berlepas jam 10 pagi tadi dan kumpulan kedua akan menyusul 16 Julai ini. 

MALCOY 8 akan ditempatkan di Kem Kaoukaba, Sektor Timur UNIFIL, Lubnan bagi menggantikan MALCOY 7 yang menamatkan misi UNIFIL pada hari ini bagi kumpulan pertama dan 17 Julai bagi kumpulan kedua, selepas berkhidmat hampir 12 bulan dari 24 Julai tahun lalu. 

Sementara itu, Komander MALCOY 8, Lt Kol Hamdan Ismail berkata, beliau berbangga mendapat peluang memartabatkan nama negara di persada antarabangsa. 

"Saya akan teruskan apa jua yang telah digariskan. Saya juga akan pastikan apa yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MALCOY terdahulu dapat dipertingkatkan di masa akan datang dan kekal di mata dunia," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment