My Add

Monday 9 July 2012

Masalah prasarana ke pengetahuan PM

*G. PALANIVEL ketika melakukan lawatan ke bilik guru SJKT Subramaniyar Barathee di Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR, AHAD, 08 Julai, 2012: Masalah prasarana dan kemudahan yang menyedihkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Subramaniyar Barathee di Gelugor, Pulau Pinang telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel berkata, perkara itu disampaikan kepada Perdana Menteri selepas beliau melakukan lawatan mengejut ke sekolah yang setiap tahun mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dalam lawatan baru-baru ini, Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri terkejut melihat keadaan sekolah tersebut yang terpaksa menggunakan kontena untuk mengendalikan beberapa buah bilik darjah.

''Bumbung sekolah dan kantin pula bocor menyebabkan murid-murid mengalami banyak kesulitan, bilik guru juga terlalu kecil untuk menampung 20 orang guru yang bertugas,'' katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berharap, Perdana Menteri dapat memberi perhatian terhadap masalah tersebut dan mengambil tindakan segera demi masa depan murid-murid sementara menunggu bangunan baru yang dianggarkan bernilai RM2.615 juta dibina.

''Sementara bangunan baru dibina yang dijangka mengambil masa dua tahun lagi, Kementerian Pelajaran disaran mengambil tindakan segera untuk memastikan kemudahan yang lebih selesa disediakan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang,'' katanya..

Beliau turut menceritakan kecurian yang berlaku di sekolah tersebut baru-baru ini semasa hari sukan tahunan sekolah yang melibatkan kehilangan sebuah televisyen dan wang tunai sejumlah RM2,000 milik guru-guru.

"Insiden seperti ini menunjukkan tahap keselamatan sekolah yang membimbangkan dan ini memberi implikasi yang negatif kepada masa depan sekolah serta pembelajaran,'' katanya.

Sekolah tersebut yang mempunyai lima bilik darjah dengan 223 murid serta 20 guru merupakan antara sekolah Tamil yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR di peringkat negeri dan nasional.

Sementara itu, Palanivel akan mengadakan satu lagi perjumpaan bersama Perdana Menteri bagi membincangkan masalah prasarana yang dihadapi oleh semua sekolah Tamil di negara ini dalam masa terdekat setelah mendapat laporan sepenuhnya daripada pihak Kementerian Pelajaran.  - UTUSAN

No comments:

Post a Comment