My Add

Wednesday 18 July 2012

MB Kedah arah jual saham Felda Global dibeli PKNK

MUHAMAD MAT YAKIM
ALOR SETAR, RABU, 16 Julai, 2012: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menjual saham milik perbadanan itu dalam Felda Global Ventures Holdings (FGVH), yang dibeli tanpa pengetahuan beliau sehingga menimbulkan isu seolah-olah pendirian Kerajaan Negeri berhubung penyenaraian syarikat Felda itu di bursa saham bertentangan dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Sinar Harian memetik Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi meredakan salah faham dalam kalangan penyokong pembangkang seolah-olah Kerajaan Kedah tidak sensitif dengan isu berkenaan.

"Jika ada mana-mana pihak yang anggap begitu (tidak sensitif) sebenarnya tidak betul. Walaupun MB (Azizan) Pengerusi PKNK, namun dalam isu pembelian saham FGVH, beliau tidak dimaklum langsung. Keputusan itu dibuat oleh pengurusan PKNK sendiri. MB hanya dimaklumkan selepas pembelian dibuat dan beliau terus mengarahkan supaya saham-saham itu dijual kerana menyedari ia boleh menimbulkan salah faham terhadap Kerajaan PR Kedah," katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, pendirian Azizan dalam isu berkenaan adalah selari dengan kepimpinan Pas yang lain iaitu menentang penyenaraian syarikat Felda di bursa saham.

"Ini terbukti apabila beliau menolak cadangan Permodalan Kedah Berhad (PKB) yang juga mahu membeli saham FGVH," katanya.

Namun, kata Muhammad Sanusi, situasinya berbeza apabila setiap keputusan yang membabitkan kewangan PKB perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Menteri Besar tetapi tidak begitu dalam peraturan operasi PKNK.

Menteri Besar adalah pengerusi dalam kedua-dua syarikat milik kerajaan negeri itu.

"PKNK dalam pembentangan belanjawannya sebelum ini memang ada menyatakan cadangan mahu membeli saham tetapi tidak dinyatakan saham apa dan cadangan itu diluluskan oleh lembaga pengarahnya,"katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak bermaksud mahu menyalahkan pengurusan PKNK ataupun menjadikan pihak berkenaan sebagai 'kambing hitam'.

No comments:

Post a Comment