My Add

Sunday 8 July 2012

Najib buat tinjauan mesra di Pasar Seksyen 1 Bandar Baru Bangi

BANDAR BARU BANGI, AHAD, 08 Julai, 2012: Suasana sekitar Pasar Seksyen 1 di sini pagi hujung minggu tidak seperti lazimnya hari ini apabila keadaannya pantas bertukar menjadi bertambah ceria dengan kehadiran orang ramai berpusu-pusu untuk menyambut dan melihat lebih dekat kelibat tetamu istimewa yang baru tiba dari Putrajaya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijadual menghadiri programJelajah Janji Ditepati di Teras Jernang di sini, terdahulu mengambil kesempatan untuk membuat tinjauan mesra di sekitar kawasan pasar itu.

Beliau yang tiba di perkarangan pasar pada kira-kira jam 9 pagi, terus 
bersalaman dengan orang ramai, sebelum memulakan tinjauan mesra, bermula di 
kawasan pasar ikan dan daging serta sayur-sayuran, sebelum menyusuri gerai-gerai 
di sebelahnya. 

Bersama-sama Najib pada majlis itu termasuk beberapa pemimpin Barisan 
Nasional Selangor seperti Timbalan Pengerusinya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, pemimpin-pemimpin tempatan dan lain-lain lagi. 

Beliau kemudiannya menyertai orang ramai bersarapan di hadapan kawasan gerai 
makanan, dengan disertai beberapa penduduk tempatan; tua, muda, tanpa mengira 
kaum mahupun lapisan masyarakat. 

Sarapan paginya itu sesekali diselang-seli dengan sapaan orang ramai, dan 
ada yang sempat berbual dan mengambil kesempatan untuk menyuarakan sesuatu ke 
telinga pemimpin nombor satu negara itu. 

Selesai bersarapan, Najib meneruskan tinjauan mesra dengan menjengah ke 
beberapa gerai makanan dan bersalaman dengan orang ramai yang rata-rata 
kelihatan ceria dengan kehadirannya. 

Perdana Menteri kemudiannya beredar meninggalkan kawasan pasar itu pada 
pukul 10.15 pagi, menghala ke arah Teras Jernang kira-kira 5 kilometer dari sini untuk program berikutnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment