My Add

Thursday 19 July 2012

Negara Islam perlu belajar dari Timur: Dr Mahathir

BANGKOK, KHAMIS, 19 Julai, 2012:: Negara-negara Islam perlu mempelajari dari negara Timur sekiranya mahu mengatasi cabaran pemodenan dan globalisasi, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau berkata, banyak negara Timur menguasai pengetahuan dan kemahiran perindustrian sehingga mereka boleh bersaing dan menjadikan negara mereka kaya dari segi ekonomi dan kuat.

"Kekuatan mereka sebegitu rupa sehingga mampu mengenepikan hegemoni Barat dan mengatasi cabaran pemodenan dan ancaman globalisasi," katanya pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-72 Pondok Bantan di sini malam tadi. 

Beliau berkata keperluan pertama ialah memiliki dan meningkat pengetahuan dalam bidang sains kerana teknologi moden adalah berdasarkan sains dan matematik. 

"Kita juga perlu memiliki kemahiran dalam pentadbiran dan urus tadbir moden selain pengetahuan mengenai ekonomi moden dan pengurusannya," katanya. 

Dr Mahathir berkata semua ini memakan masa untuk dicapai tetapi negara seperti Korea telah berupaya mempercepatkan prosesnya. 

"Sementara kita perlu bersabar, kita juga perlu mencari bagaimana Korea telah berubah dari sebuah negara mundur kepada gergasi perindustrian," katanya. 
Menyentuh mengenai pengalaman Malaysia dalam mengejar wawasan untuk menjadi negara maju menjelang 2020, beliau berkata negara memerlukan kerajaan yang baik dalam mencapai impian itu. 

"Dalam sistem demokrasi, apabila sesebuah kerajaan gagal memerintah, ia boleh digulingkan dalam pilihan raya seterusnya. Tidak oleh kebangkitan rakyat. Tidak memerlukan keganasan. 

"Kerajan yang baik memerlukan pemimpin yang bagus, terutama yang paling di atas. Beliau perlulah seseorang yang cintakan negara dan rakyat lebih daripada dirinya sendiri. Orang yang sedemikian tidak akan menyalahgunakan kuasanya atau tunduk kepada rasuah," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment