My Add

Sunday 8 July 2012

Negara Islam perlu jadi pengeluar produk dunia: Dr Mahathir

LANGKAWI, AHAD, 08 Julai, 2012: Negara Islam tidak sepatutnya kekal sebagai negara pengguna semata-mata, tetapi perlu membabitkan diri dalam bidang perniagaan secara besar-besaran, termasuk mengeluarkan produk untuk dijual ke pasaran dunia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini. 

Beliau berkata, selepas sekian lama menjadi negara pengguna yang membeli barangan dari negara lain, termasuk dari Barat, kini negara Islam perlu berubah menjadi negara pengeluar barangan dan penyedia perkhidmatan, termasuk dalam bidang perhotelan dan perundingan yang antara perniagaan besar serta menguntungkan. 

"Menjual mata wang dan membeli saham bukanlah perniagaan dalam erti kata sebenar. Kita patut ceburi perniagaan sebenar dan menghasilkan barangan untuk dijual di pasaran," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Pertama Persatuan Sekolah Perniagaan Dunia Dari Negara Islam (WAiBS) dan Persidangan Yayasan Kewangan Islam Kelima (FIFC) 2012 di sini. 

Dr Mahathir meminta sekolah perniagaan di negara Islam supaya mengajar pelajar mereka cara baru untuk berniaga dan menggalakkan mereka menjadi pengeluar barangan. 

Katanya, penguasaan dan pembelajaran tentang cara menggunakan teknologi tinggi juga penting untuk menjamin perniagaan yang mereka ceburi menjana keuntungan lumayan. 

"Dunia sekarang bersifat global, semuanya mudah. (Sekiranya) Kita tidak memiliki teknologi, kita boleh tiru dulu dan kemudian menambah baik dan memajukan produk yang kita dihasilkan...kita boleh belajar dan lama kelamaan menjadi macam Jepun. 

"Jepun pada mulanya meniru teknologi dari Barat untuk mengeluarkan produk sendiri, selepas itu mereka belajar serta memperbaiki diri dan mencipta teknologi sendiri untuk dijual kepada dunia. 

"Rugilah kalau umat Islam tidak memanfaatkan kemajuan tekonologi...terdapat cara dan kaedah komuniksi yang boleh kita gunakan," katanya. 

WAiBS dan FIFC dihadiri anggota perwakilan dari 32 negara. WAiBS bermula hari ini, manakala FIFC berlangsung mulai esok hingga Rabu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment