My Add

Wednesday 18 July 2012

Panel Penasihat Bersih diberitahu polis bertindak kasar

*PANEL Penasihat Bersih mendengar keterangan daripadaR Nadeswaran di kawasan Dataran Merdeka, hari ini.

ARHIZA AHMAD
KUALA LUMPUR, RABU, 18 Julai, 2012: Panel Penasihat Bersih diberitahu bahawa terdapat beberapa anggota polis bertindak kasar terhadap peserta perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Pengerusinya, Tun Mohammed Haniff Omar berkata, ini hasil keterangan yang diberikan beberapa saksi dalam siasatan yang dijalankan panel tersebut.

Menurutnya, setakat ini hanya seramai lapan saksi tampil memberi keterangan berkaitan salah laku polis dan perjalanan perhimpunan itu.

Bagaimanapun menurut beliau, jumlah saksi yang tampil setakat ini belum mencukupi.

“Kami telah memanggil sebahagian anggota polis yang bertugas sepanjang perhimpunan. Walaupun terdapat dakwaan pelbagai pihak menyatakan berlaku kekasaran, tetapi mereka yang tampil untuk menjadi saksi amat mendukacitakan.

"Sekiranya tiada saksi yang tampil, pihak polis (hanya boleh) mengambil tindakan tatatertib terhadap anggotanya yang bertindak kasar dalam perhimpunan itu," katanya selepas mendengar keterangan beberapa saksi di Kelab Diraja Selangor di sini.

Sebelum ini, beliau pernah berkata bahawa sekiranya tiada mana-mana pihak tampil menjadi saksi terhadap dakwaan-dakwaan yang dikemukakan, bermakna polis hanya boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota yang bertindak kasar.

Antara saksi yang hadir member keterangan hari ini ialah editor akhbar The Sun, R Nadeswaran yang berada di Rumah Kelab Diraja Selangor semasa perhimpunan itu. Beliau memberikan keterangan apa yang berlaku di kawasan sekitar rumah kelab pada hari berkenaan.

Mohammed Haniff berkata, salah seorang saksi mendakwa beliau melihat beberapa anggota polis bertindak kasar terhadap peserta yang ditahan ketika lalu di hadapan rumah kelab bagi dikumpulkan di kawasan lapang sebelum dibawa ke pusat tahanan.

Beliau berkata, saksi memberitahu ada melihat peserta yang berlumuran darah tetapi tidak mengetahui punca bagaimana ia berlaku, kebanyakan yang ditahan adalah peserta lelaki, mereka dipegang oleh anggota polis ketika dibawa ke tempat berkumpul.

“Bagi peserta wanita pula, mereka hanya diiringi oleh anggota polis," katanya.

Panel penasihat ini ditubuhkan bagi menyiasat dan mendapatkan gambaran sebenar perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April lalu.

Selain itu panel penasihat ini boleh dijadikan saluran alternatif oleh mana-mana pihak untuk mengemukakan laporan, bantahan, bahan bukti dan sebagainya terutama yang berkaitan dengan perhimpunan itu.

Panel penasihat ini dianggotai oleh Mohammed Haniff, selaku pengerusi manakala ahli panelnya terdiri daripada Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip; Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.

Bagaimanapun dua ahli panel terbabit iaitu Shim Lip dan Mohammad Medan telah menarik diri kerana masalah kesihatan dan bebanan tugas. - Sinar Hariab

No comments:

Post a Comment