My Add

Wednesday 11 July 2012

Panglima ATM gesa warga tentera pupuk kemahiran

KUALA LUMPUR. RABU, 1 Julai, 2012: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin mahu warga angkatan tentera meningkatkan kemahiran dan intelektualisme dalam memberansang kreativiti dan perkhidmatan mereka. 

Berucap melancarkan Buku Panduan Budaya Inovasi ATM di Kementerian Pertahanan di sini hari ini, beliau berkata, warga ATM perlu melalui pembelajaran dan latihan berterusan supaya ia menjadi sumber kepada cetusan idea kreatif dan inovatif. 

"Mereka perlu mempelbagaikan aktiviti bagi pembudayaan inovasi, umpamanya menggalakkan penubuhan kumpulan inovatif dan kreatif sebagai ruang serta peluang warga tentera suarakan cadangan selesaikan masalah kerja," katanya. 

Zulkefli berkata, mereka boleh mengemukakan cadangan inovasi yang dapat meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan selain berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab. 

Menurutnya, warga angkatan tentera perlu menunaikan tanggungjawab mencari penyelesaian kreatif dan inovatif sehingga menjangkau pemikiran serta berani bereksperimen menggunakan kaedah kerja baru di luar kotak kelaziman. 

Beliau berkata, dalam memastikan kecemerlangan organisasi, semua peringkat pengurusan organisasi ATM perlu memberi tumpuan khas kepada aspek mengurus kejayaan merangkumi ganjaran, penghargaan dan pengiktirafan kepada individu dan pasukan. 

Turut hadir di majlis itu ialah Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Timbalan Penglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Roslan Saad dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment