My Add

Thursday 19 July 2012

Pelajar Siam diiktiraf bumiputera

KUALA LUMPUR, RABU,  18 Julai, 2012: Pelajar Malaysia berketurunan Siam kini diiktiraf sebagai bumiputera dalam permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai tahun ini.

Berikutan itu, semua pelajar itu kini layak memohon mengikuti program pengajian yang dikhususkan untuk bumiputera di IPTA pada peringkat asasi, diploma serta ijazah pertama, menurut Kementerian Pengajian Tinggi.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, kelayakan itu berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan masyarakat keturunan Siam di Pendang, Kedah pada 25 Februari lalu bahawa status pelajar keturunan Siam bagi kemasukan ke IPTA wajar dipertimbangkan sama seperti bumiputera lain.

Berikutan itu, katanya, Jemaah Menteri pada 22 Jun lalu bersetuju bahawa kemasukan pelajar keturunan Siam ke IPTA dilaksanakan secara pentadbiran tanpa dikaitkan dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, semua IPTA telah melaksanakan arahan ini dalam urusan kemasukan pelajar ke IPTA bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau setaraf mulai sesi akademik 2012/2013,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan balas kepada ucapan penangguhan Senator Datuk Boon Som Inong di Dewan Negara semalam.

Dalam ucapan penangguhan itu, Boon Som berkata, masyarakat keturunan Siam adalah penduduk asal negara ini berdasarkan fakta sejarah.

Katanya, selepas Kerajaan Siam menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Inggeris pada 1909, negeri di Utara Semenanjung iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Inggeris.

“Dengan termeterainya perjanjian Inggeris-Siam itu, empat negeri berkenaan menjadi sebahagian daripada negara ini yang ketika itu digelar Tanah Melayu. Dengan itu, masyarakat Siam yang menjadi penduduk di negeri berkenaan secara automatik adalah warganegara Tanah Melayu yang kemudian bergelar Malaysia.

“Bagaimanapun, kami sering dianggap bukan bumiputera dan dinafikan hak sebagai bumiputera seperti dalam urusan pemilihan pelajar ke IPTA dan pemilihan kemasukan pelajar keturunan Siam ke institusi itu masih lagi dibuat berdasarkan syarat dan prosedur sama seperti pelajar keturunan bukan bumiputera,’’ katanya.

Pengiktirafan status masyarakat Siam sebagai bumiputera dibuat oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, yang juga pemimpin berdarah keturunan Siam, serta Perdana Menteri selepas beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sejak sekian lama katanya, masyarakat Siam memang layak menjadi ahli UMNO, melabur dalam Amanah Saham Bumiputera serta mengamalkan cara hidup seperti golongan bumiputera lain di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment