My Add

Wednesday 18 July 2012

Pelihara rahsia sulit kerajaan

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
PUTRAJAYA, SELASA, 17 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan warga Perbendaharaan Negara agar menjaga disiplin dengan tidak membocorkan rahsia segala urusan kerajaan kepada pihak luar.

Perdana Menteri menegaskan, rahsia sulit kerajaan tidak boleh dikompromi, justeru sebagai ikon dalam pentadbiran, segala maklumat di Perbendaharaan perlu disimpan rapi.

"Disiplin dalam Perbendaharaan penting kerana ini ikon kepada kerajaan, jadi jagalah imej Perbendaharaan, rahsia-rahsia Perbendaharaan mesti dijaga, rahsia dalam segala urusan tidak boleh kita kompromi.

"Kita mesti pastikan perkara ini kita jaga dengan sebaik-baiknya supaya menjadi sebuah pentadbiran yang lebih efisien dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Khas Perbendaharaan 2011 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 210 kakitangan menerima APC masing-masing termasuk empat pegawai berstatus Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) yang menerima Anugerah Khas Perbendaharaan.

Seorang jururawat klinikal di Hospital Putrajaya pula menerima anugerah yang baru diperkenalkan iaitu Anugerah Citra Bakti.

Hadir sama, dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein dan Datuk Donald Lim Siang Chai serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri turut menggariskan empat prinsip yang perlu diberikan tumpuan oleh jabatan itu sebagai agensi yang menjaga kepentingan dasar-dasar berkaitan pengurusan ekonomi dan kewangan negara.

"Prinsip pertama ialah tidak berbelanja lebih daripada pendapatan dan ia salah satu daripada prinsip asas yang mungkin mudah pada logiknya tetapi dari segi praktikalnya, negara-negara Soviet juga gagal untuk menanganinya," ujar beliau.

Sebagai contoh, katanya, tujuh zon ekonomi di Eropah menghadapi kemelesetan dan kemungkinan lebih parah lagi iaitu berlakunya krisis kewangan yang boleh membawa kesan cukup buruk jika tidak ditangani sebaik-baiknya oleh pemimpin-pemimpin di sana.

Bagi prinsip kedua pula, kata Perdana Menteri, kerajaan tidak boleh meminjam duit untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan, jika ia berlaku itu adalah petanda awal negara bakal menghadapi krisis kewangan.

Najib berkata, prinsip ketiga ialah memastikan beban hutang dan defisit fiskal negara menunjukkan tren penurunan yang lebih progresif dan beberapa tahun kebelakangan ini defisit negara menjurus ke arah itu.

"Prinsip seterusnya, kita mesti lihat kepada pertimbangan antara asas pendapatan yang seharusnya semakin besar dan di samping itu keupayaan kita memberi insentif dan rangsangan kepada sektor-sektor atau subsektor tertentu yang hendak kita beri sokongan.

"Ini bererti dalam satu aspek kita kena kutip cukai lebih, dalam satu aspek lain kita kena beri rangsangan dan mungkin kurangkan kutipan cukai tetapi yang penting kita mencapai dua objektif utama untuk negara iaitu kadar pertumbuhan negara mesti berada di tahap yang memuaskan antara 5-6 peratus," katanya.

Perdana Menteri turut meminta warga Perbendaharaan memakai 'dua topi' iaitu bertindak sebagai pengawal untuk menentukan kewangan dan hasil negara dibelanjakan secara berhemah serta mencapai pulangan maksimum.

Satu topi lagi, kata Najib, menjadi pemudah cara kepada kementerian-kementerian, jabatan dan agensi kerajaan lain serta sektor swasta.

"Kita tak boleh biarkan apa-apa kekangan kewangan supaya pelbagai jentera dapat berjalan lancar.

"Walaupun susah nak pakai dua topi serentak tapi kita cuba kerana kalau mudah sangat duit negara tak dikawal dengan baik, tapi kalau terlebih kawal mereka juga menuding jari pada kita pula," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment