My Add

Tuesday 10 July 2012

Penasihat PKR didakwa pernah 'hentam' Pas, DAP

*ZAMIL Ibrahim menunjukkan cakera padat dan butiran perbualan berkaitan Anwar Ibrahim menghentam parti dalam pakatan pembangkang di Kota Damansara, semalam.

PETALING JAYA, ISNIN, 09 Julai, 2012: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim akan mendedahkan rakaman Datuk Seri Anwar Ibrahim 'menghentam' rakan sekutunya dalam satu mesyuarat tertutup Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zon Utara di Pulau Pinang pada 9 Januari 2008.

Menurutnya, beliau akan mengambil tindakan itu jika Ketua Pembangkang tersebut gagal menjawab secara jujur mengenai rakaman berkenaan yang diterima dalam bentuk cakera padat (CD) daripada seorang Ketua Cabang PKR di Kedah.

Dakwanya, rakaman selama lima minit dan 20 saat menerusi telefon bimbit milik ketua cabang itu antara lain memaparkan kenyataan Anwar yang menghentam DAP selain menyifatkan Pas sebagai sebuah parti yang hanya disokong oleh golongan Melayu di kampung.

''Rakaman itu diberikan kepada saya oleh pemimpin PKR tersebut yang semakin hari semakin meluat dengan permainan wayang Anwar. Ia juga sebagai bukti suasana 'tikam belakang' antara pembangkang telah berlaku sejak 2008 lagi. Sekarang pun begitu juga.

''Saya cabar Anwar untuk mengesahkan apakah benar beliau pernah menghentam Pas dan DAP dalam mesyuarat itu? Saya minta Anwar menjawabnya secara jujur. Tetapi saya tahu Anwar tidak akan jawab,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di Kota Damansara dekat sini hari ini.

Beliau mendakwa, rakaman tersebut juga menggambarkan watak sebenar Penasihat PKR itu yang tidak jujur dengan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

''Saya juga bersedia untuk disaman oleh Anwar sebab saya ada maklumat lengkap mengenai perjalanan mesyuarat berkenaan,'' tegasnya.

Sementara itu katanya, beliau turut akan mendedahkan lapan CD mengandungi rakaman pengakuan lapan wakil rakyat PKR yang mahu keluar daripada parti itu.

Dakwanya, kebanyakan CD itu dirakam selepas peristiwa pembentukan 'Kerajaan 16 September' yang kononnya diusahakan Anwar pada 2008.

''Saya baru tonton dua CD. Bukan saya rakam tetapi teman-teman saya yang rakam. Kebanyakan wakil rakyat PKR mahu keluar parti kerana mereka dipaksa letak jawatan. Ada yang mahu menjadi bebas atau memasuki semula Barisan Nasional (BN). Janji keluar PKR,'' dakwanya.

Dalam perkembangan lain, Zamil mendesak bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau terlibat atau tidak dalam isu membawa keluar wang kertas dengan nota RM500 dan RM1,000 dalam nilai yang besar sekitar hujung 90-an.

''Jika terlibat, tolong jelaskan kepada rakyat siapa lagi yang terlibat serta mengarahkan beliau berbuat demikian. Saya difahamkan wang itu masih ada di luar negara dan disimpan di satu lokasi rahsia. Ada orang-orang tertentu di negara ini yang tahu tempat itu.

''Saya juga meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memberi ulasan sama ada beliau telah menghidu tindakan tersebut sehingga mengarahkan pengeluaran wang kertas dengan nota berkenaan dihentikan,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment