My Add

Tuesday 10 July 2012

Pengguna media sosial boleh sangkal dakwaan sebar fitnah

KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Julai, 2012: Pengguna laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter boleh menyangkal anggapan fakta bahawa mereka adalah pemilik, hos, pentadbir, editor atau sub-editor untuk penyiaran fakta berunsur fitnah melalui internet dengan menunjukkan bukti sebaliknya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong hari ini. 

Beliau berkata, Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) 1950 mengenai anggapan fakta dalam penyiaran membolehkan mahkamah membuat suatu anggapan fakta dalam perbicaraan kes yang membabitkan penyiaran melalui internet selepas mahkamah berpuas hati bahawa wujud suatu fakta dan bukti yang jelas.

Katanya, dalam keadaan ini, walaupun mahkamah sudah memutuskan untuk menggunakan anggapan tersebut, tertuduh masih boleh menyangkal anggapan itu dengan menunjukkan bukti sebaliknya. 

"Sebagai contoh, seseorang yang tidak dikenali mencuri kata laluan pemilik Facebook atau Twitter itu dan menyiarkan kata-kata yang bersifat fitnah serta menjatuhkan maruah seseorang yang disegani masyarakat. 

"Pada masa penyiaran itu dibuat, pemilik (akaun) Twitter atau Facebook yang berkenaan telah kehilangan komputer ribanya yang mengandungi kata laluan yang disimpan di dalam komputer riba itu, maka pemilik (akaun) Twitter atau Facebook boleh mengemukakan fakta sedemikian bagi membuktikan beliau bukanlah orang yang menyiarkan kata-kata bersifat fitnah itu," katanya. 

Liew berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Khoo Soo Seang mengenai bagaimana pindaan kepada Akta Keterangan 1950 akan berfungsi berkenaan dengan media sosial dan adakah perkongsian berita melalui saluran media ini menjadikan pengguna tersebut bertanggungjawab di bawah akta berkenaan. 

Akta Keterangan (Pindaan) 1950 berkuatkuasa pada 1 Jun lalu. Selari dengan kemajuan internet, selepas kewujudan laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter, akta ini dilihat dapat membendung gejala buruk seperti penyebaran fitnah dan hasutan berleluasa di internet. 

Liew menjelaskan apabila komputer pemilik akaun Facebook atau Twitter digodam oleh penggodam komputer dan kata laluan pemiliknya dicuri, maka sebarang penyiaran maklumat yang dibuat oleh penggodam itu boleh dijadikan bukti bagi mematahkan anggapan fakta dalam penyiaran tersebut. 

Dalam konteks perkongsian berita melalui saluran media ini pula, beliau berkata seseorang pemilik atau pengguna Facebook atau Twitter tidak akan dipertanggungjawabkan dengan sebarang ulasan atau komen yang dibuat oleh orang lain yang dihantar ke dalam akaunnya semata-mata sebagai satu perkongsian berita atau maklumat kerana anggapan fakta dalam penyiaran seperti yang diperuntukkan dalam sekysen 114A tidak akan terpakai dalam keadaan yang sedemikian. 

"Sekiranya pengguna atau pemilik (akaun) Facebook atau Twitter pula menyebarkan berita atau maklumat berbentuk subversif dan menghasut rakyat untuk mengguling kerajaan dengan menggunakan kekerasan, pemilik berkenaan boleh dipertanggungjawabkan dengan penyiaran berita atau maklumat sedemikian," katanya. 

Sehubungan itu, Liew berkata para pengguna media sosial perlu mempunyai obligasi moral untuk menyekat atau menapis sebarang perkongsian berita atau maklumat yang berbentuk fitnah dan melibatkan unsur-unsur keganasan dan kekerasan. 

Kepada soalan tambahan daripada Senator Datuk Abdul Rahman Bakar, Liew berkata buat masa sekarang, kerajaan belum lagi merekodkan statistik tentang jumlah pengguna Facebook atau Twitter yang ditahan kerana menyiarkan berita-berita berbaur fitnah dan perkauman kerana Akta Keterangan (Pindaan) 1950 baru dilaksanakan Jun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment