My Add

Wednesday 18 July 2012

Penguat kuasa ditambah kekang perlombongan emas

KOTA BHARU, RABU, 18 Julai, 2012: Jumlah anggota penguat kuasa akan ditambah di negeri ini sebagai usaha mengekang kegiatan perlombongan emas secara haram di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim berkata, walaupun kerajaan negeri berdepan kekangan kewangan, perancangan lengkap telah diatur bagi penambahan bilangan anggota penguat kuasa, termasuk memaksimumkan kekuatan di setiap jajahan dan daerah.

“Kita boleh kumpul skuad dari jajahan dan buat penguatkuasaan. Ini dalam perancangan kita, tapi itulah, kita tak boleh jangka bila pencuri nak mencuri.

"Tapi yang kita sudah tahu, kita telah ambil tindakan ke atas mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini malam tadi.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan berpuluh-puluh tapak perlombongan emas dikesan beroperasi secara haram di beberapa daerah di Kelantan, antaranya di Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Tindakan "merompak" galian berharga itu dikatakan berlaku sejak beberapa tahun lalu hingga menyebabkan Kelantan kerugian ratusan juta ringgit.

Zainuddin berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap pegawai penguat kuasa yang membocorkan maklumat kepada pelombong haram, sebelum serbuan dilakukan.

"Kalau kita terima bukti ada pegawai yang terlibat kita akan ambil tindakan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment