My Add

Tuesday 10 July 2012

Penuhi jangkaan rakyat

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, ISNIN, 09 Julai, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru anggota perkhidmatan awam supaya bersedia menghadapi perubahan semasa dan berusaha memenuhi jangkaan rakyat yang semakin tinggi.

Beliau berkata, sebagai tunjang kepada kerajaan, penjawat awam perlu bekerjasama serta memberikan komitmen yang sangat padu dan jitu untuk memastikan matlamat menjadikan Malaysia negara maju tercapai.

''Mana-mana negara yang dapat menjana idea yang unggul dan bernas akan menjuarai persaingan. Sungguh pun hasil perkhidmatan awam semakin baik namun masih ada ruang boleh ditambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 2,000 penjawat awam pada majlis dialog bersama kakitangan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa.

Perdana Menteri berkata, permintaan rakyat bukan sahaja terletak kepada kuantiti tetapi kepantasan dalam sistem penyampaian yang lebih baik daripada kerajaan.

''Persekitaran sekarang adalah berbeza daripada sebelumnya dan kita menghadapi banyak cabaran, pendidikan telah membuatkan jangkaan rakyat semakin tinggi dan kritikal dalam tuntutan mereka.

''Oleh itu, kita tidak mempunyai pilihan melainkan meningkatkan kemampuan kerajaan untuk penyampaian lebih berkesan, pantas, efektif dan pastikan ia sampai kepada kumpulan sasaran," katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak berbelanja lebih daripada apa yang diperoleh atau melakukan sesuatu berdasarkan populis sepenuhnya tetapi melaksanakan dasar secara berhemat melalui pengurusan kewangan yang bertanggungjawab.

Perdana Menteri berkata, penjawat awam perlu menitikberatkan hasil kerja selain memastikan apa yang dirancang dan dilaksana itu memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.

''Apa yang penting ialah hasilnya, sekarang kita pentingkan hasil kerja dan petunjuk prestasi utama (KPI), saya menemui menteri setiap enam bulan untuk menilai KPI mereka secara mesra tetapi serius.

''Kebanyakan sasaran KPI telah dicapai dan kita akan mengembangkan sasaran itu supaya kejayaan yang lebih tinggi boleh dicapai," kata Perdana Menteri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment