My Add

Tuesday 17 July 2012

Penuntut Malaysia di Iowa terima pelbagai bantuan

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Julai, 2012: Kedutaan Besar Malaysia di Washington serta beberapa agensi berkaitan menghulurkan pelbagai bantuan kepada penuntut Malaysia yang terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan 56 unit South Meadow Apartment di Bandaraya Ames, Iowa di Amerika Syarikat Ahad lalu.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, antara bantuan yang disalur ialah sumbangan kewangan daripada Biro Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Washington. Mereka turut menerima bantuan makanan, minuman, pakaian dan logistik daripada Education Malaysia (EM) Chicago serta derma daripada Pertubuhan Malaysian Islamic Study Group. 

Penuntut terlibat juga mendapat bantuan makanan dan tempat tinggal sementara daripada Red Cross Ames, kata Wisma Putra.

Selain itu, perjumpaan bersama International Student Office Iowa State University juga diadakan untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Kementerian Luar berkata, seramai 17 penuntut Malaysia terjejas akibat kebakaran itu.

Ketika kejadian, empat daripada mereka berada dalam kediaman di pangsapuri itu manakala 13 lagi bercuti di luar kawasan.
Kementerian Luar akan terus memantau keadaan penuntut berkenaan berikutan kebakaran itu.

Laporan Bernama semalam menyatakan tiga daripada penuntut itu -- Mohamad Khairi Zulkarnian, Mohd Aminuddin Hamid dan Mohd Khairi Ismail -- kesemuanya berumur 21 tahun dan penuntut Tahun Dua jurusan kejuruteraan di Iowa State University, bergegas keluar dari unit kediaman mereka dengan hanya sempat menyelamatkan telefon bimbit dan dompet masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment