My Add

Sunday 22 July 2012

Perbezaan politik tidak pisah Islam: Nooh Gadot

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Julai, 2012: Perbezaan ideologi politik tidak seharusnya menjadi punca yang boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot, berkata, umat Islam seharusnya menyedari masa depan negara bergantung kepada persaudaraan yang kukuh di kalangan umatnya.

"Jika umat Islam bersatu di bawah ideologi politik sama, segala perancangan boleh dilaksanakan tanpa sebarang tentangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam di negara ini.

Sementara itu, penceramah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berpandangan, kefahaman dan ideologi politik yang berbeza boleh mencetuskan huru-hara di kalangan umat Islam dan perkara tersebut patut diberi perhatian.

Bagi Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz pula, beliau menegaskan, mazhab Islam sendiri mempunyai perbezaan pendapat dalam beberapa hal tetapi ia tidak sehingga memecahbelahkan.

"Pentadbiran negara akan lebih mantap jika umat Islam bersatu apatah lagi di negara ini umat Islam dan orang Melayu adalah majoriti," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment