My Add

Sunday 8 July 2012

Peserta Australia, Macau juara Triatlon PD

PORT DICKSON, AHAD, 08 Julai, 2012: Peserta Australia, Assad Attamimi, dan peserta Macau, Hoi Long, masing-masing muncul juara keseluruhan lelaki dan wanita pada Triatlon Antarabangsa Port Dickson (PDIT) 2012 di Avillion Admiral Cove, di sini hari ini. 

Attamimi mencatatkan masa terpantas 1 jam 58 minit dan 4 saat bagi kategori lelaki jarak Olimpik, manakala Hoi mencatatkan 2:02.56 saat bagi kategori wanita jarak Olimpik. Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500 dan piala pusingan. 

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail. 

Attami yang juga juara kategori lelaki 30-39 tahun, menewaskan pesaing terdekat, Chong Chi Seak dari Macau yang mencatat 2:06.29s, manakala Kenta Ando dari Jepun di tempat ketiga dengan 2:07.50s. 

Hoi pula turut menjuarai kategori wanita 16-34 tahun menewaskan Angie Tan dari Singapura yang mencatat 2:10.28s, dan Sammie Wu Sum Yi dari Hong Kong (2:18.00s). 

Johan kategori lelaki 30-39 tahun dan kategori wanita 16-34 tahun, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000. 

Bercakap kepada pemberita, Attamimi yang tinggal dan bekerja di Singapura, berkata ini kali kedua beliau menjuarai kategori tersebut setelah kali pertama muncul juara pada 2010. 

"Pada tahun lalu saya muncul naib johan. Saya sudah menyertai acara ini empat tahun berturut-turut sejak 2009. Saya berharap dapat datang lagi tahun depan untuk mempertahankan kejuaraan," katanya. 

Hoi berkata, beliau sudah menyertai acara ini lima tahun berturut-turut dan muncul johan empat kali. 

"Saya mencintai sukan ini dan akan datang lagi tahun depan. Rakyat Malaysia begitu mesra sekali dan mereka melayan saya dengan baik," katanya yang menjadikan sukan triatlon sepenuh masa. 

Sementara itu, edisi ke-11 tahun ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai penyertaan teramai iaitu 1,800 peserta dari 40 negara termasuk Singapura, Indonesia, Jepun, United Kingdom, Australia, Hong Kong dan Macau. 

Pada pertandingan itu, setiap peserta jarak Olimpik dikehendaki berenang sejauh 1.5km, berbasikal 40km, sebelum mengakhirinya dengan larian sejauh 10km. 

Pertandingan itu anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Trisportz Event Management dan Avillion Admiral Cove menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment