My Add

Tuesday 10 July 2012

Polis buru 5 penyeluk saku bas Rapid

GEORGETOWN, SELASA, 10 Julai, 2012: Polis sedang memburu lima lagi lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeluk saku penumpang bas Rapid di bandar ini, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng. 

Katanya, kelima-lima lelaki berusia lingkungan 20-an itu dipercayai menjalankan kegiatan secara berkumpulan dan wajah mereka sudah dikenalpasti menerusi fotofit polis. Katanya, sebelum itu, seorang rakan mereka ditahan di perhentian bas Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) kerana dipercayai cuba menyeluk saku orang ramai. 

"Lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun itu ditahan pada 26 Jun lalu dan hasil siasatan awal, polis mendapati lelaki itu mempunyai lima rakan lain yang menjalankan kegiatan menyeluk saku," katanya kepada pemberita selepas menerima 60 pas bas khas untuk polis daripada Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Jamali Soaidin di sini hari ini. 

Beliau berkata, lelaki yang ditahan itu tidak memiliki dokumen pengenalan sah dan telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asalnya. 

Gan berkata, setakat ini polis menerima enam laporan mengenai kes jenayah seluk saku di kawasan Air Itam, Tanjung Tokong dan Pulau Tikus. 

Mengenai pas khas untuk polis itu, beliau berkata ia memudahkan anggota polis melakukan pemantauan dalam bas.

"Kita akan membuat penempatan anggota dalam bas secara berjadual dan menasihati mereka yang pernah menjadi mangsa penyeluk saku agar membuat laporan polis," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Gan berkata tiga suspek yang terbabit dengan kes pemalsuan Ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Terengganu bagi membantu siasatan. 

"Beberapa pelanggan yang pernah membeli ijazah palsu berkenaan tampil membuat laporan di sana," katanya. 

Beliau berkata suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 26 tahun itu disiasat oleh polis Terengganu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara tidak kurang satu tahun atau melebihi 10 tahun atau sebatan dan denda. 

Gan berkata, sejak beroperasi April lalu, kumpulan itu sudah menipu lebih 20 orang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment