My Add

Friday 6 July 2012

Presiden PKR kesal serangan terhadap isteri Guan Eng

  Dr Wan Azizah
SHAH ALAM, KHAMIS, 05 Julai, 2012: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan serangan pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng merupakan tindakan terdesak dan pengecut untuk memalukan beliau dan keluarganya.

Beliau melahirkan rasa kesal dan simpatinya terhadap Betty Chew, yang juga isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, dan menegaskan serangan itu menunjukkan BN ketandusan idea dan tidak berupaya menawarkan dasar yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

“Serangan terhadap Betty Chew adalah perbuatan pengecut, bertujuan mengaibkan seorang wanita dan keluarganya. Saya berdoa agar beliau kekal kuat dan terus berdiri teguh hadapi serangan yang tidak beretika itu,“ katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah merayu kepada semua ahli politik menjunjung dan hormati maruah wanita.

"Saya percaya sebagai ibu dan isteri, semua wanita memahami sepenuhnya masalah yang dihadapi Betty," katanya.

Beliau juga berharap pemimpin wanita daripada BN mampu bersuara untuk mempertahankan ruang politik yang bersih dan sihat untuk wanita.

“Kita mesti mengambil pendirian teguh tanpa mengira fahaman politik bagi memastikan budaya politik kotor ini dihentikan serta-merta," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment