My Add

Sunday 8 July 2012

PRU-13 wajar selepas habis mandat lima tahun

PADANG RENGAS, SABTU, 07 Julai, 2012: Malaysia wajar mencontohi United Kingdom (UK) yang mengadakan pilihan raya selepas tempoh mandat berakhir bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan memanggil pilihan raya selepas tempoh tiga tahun seperti yang biasa diamalkan sekarang hanya akan menyebabkan banyak program kerajaan terganggu.

"Ia mengganggu program yang dirancang oleh kerajaan seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10 yang tempohnya adalah lima tahun.

"Ia juga mengganggu kerja pegawai kerajaan dan wakil rakyat kerana mereka tidak boleh membuat kerja selepas tiga tahun. Mereka selalunya akan memberi alasan tunggu selepas pilihan raya, sedangkan tempoh masih ada dua tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Menabur Bakti dan Mesra Rakyat di Kampung Tanah Merah, Lubuk Merbau, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, ketetapan itu juga akan meredakan sebarang spekulasi mengenai tarikh pilihan raya oleh mana-mana pihak.

"Langkah ini juga dapat mengelakkan tuduhan pembangkang yang mengatakan setiap pemberian kerajaan kepada rakyat merupakan rasuah pilihan raya seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) baru-baru ini.

"Sebenarnya, pemberian itu menjadi tanggungjawab kerajaan terhadap rakyatnya, bukan sebagai modal politik kerana pemberian tersebut diberikan berterusan mengikut kemampuan kerajaan dan kestabilan ekonomi negara," katanya.

Menurut beliau, jika ketetapan itu dibuat, kerajaan akan mendapatkan nasihat Peguam Negara bagi melaksanakan pilihan raya tersebut, termasuk sama ada memerlukan pindaan Perlembagaan atau peruntukan undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohamed Nazri berkata, secara peribadinya beliau bersetuju kerajaan menghabiskan tempoh lima tahun kerana rakyat memberikan mandat untuk tempoh tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment