My Add

Tuesday 17 July 2012

PRU13: Najib bukan takut tapi perlu masa

  Ahmad Maslan
G MANIMARAN & JAMILAH HAMZAH
SHAH ALAM, SELASA, 17 Julai, 2012: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menolak tanggapan pembangkang bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) takut untuk memanggil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sekarang.

Katanya, pandangan bahawa Najib takut untuk menghadapi PRU13 hanya kerana ramalan dan spekulasi sesetengah pihak kononnya pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat meleset tidak betul.

Selain itu kata beliau, Najib belum genap empat tahun menjadi Perdana Menteri.

Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009 – 13 bulan selepas PRU12.

"Pada pandangan saya itu tak betul," kata beliau kepada Sinar Harian Online pada satu pertemuan baru-baru ini.

"Perdana Menteri belum adakan pilihan raya pada pandangan saya ialah kerana kita jangan lupa... perdana menteri yang lain (sebelum ini), pada tahun keempat (kepimpinan) bererti tahun keempatlah dia jadi Perdana Menteri, Perdana Menteri yang ini kalau tahun keempat (bermakna), dia baru tahun ketiga jadi Perdana Menteri.

"Oleh kerana itu mungkin dia rasa mungkin banyak lagi perkara yang dia nak lakukan dan laksanakan lagi. Saya lebih berpandangan begitu... sebab itulah, sebab dia lewat setahun daripada penggal itu," katanya lagi.

Akhir Jun lalu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, 'ketakutan' Najib yang sehingga kini masih belum berani untuk mengumumkan pembubaran Parlimen adalah satu kemenangan moral kepada Pakatan Rakyat (PR).

Mursyidul Am Pas berkata, alasan Najib kononnya untuk menunggu mandat lima tahun sebelum mengadakan PRU13 menggambarkan 'ada sesuatu' yang belum meyakinkan Najib yang juga Presiden Umno.

"Satu daripada kemenangan moral kita ialah bila Umno tak berani nak bubar Parlimen.

"Lepas sehari, sehari ditangguh. Tentu ada sesuatu. Masalah apa kita tak tahu, yang pasti dia (Najib) 'serabut perut'," katanya.

Sehari sebelum komen Nik Aziz itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Najib menggunakan mandat penuh untuk menunaikan segala janji dan program.

Ahmad juga berkata, beliau berpandangan bahawa kemungkinan Najib, yang juga Presiden Umno, masih belum berpuas lagi untuk memberikan dasar-dasar dan juga perkara yang diperlukan oleh rakyat.

No comments:

Post a Comment