My Add

Thursday 19 July 2012

Raja Muda Perlis rasmi MATTA Fair Perlis 2012

KANGAR, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin budaya masyarakat yang mesra dan sentiasa memberi senyum boleh membantu melonjak industri pelancongan negara. 

Menurut baginda, sektor pelancongan negara akan boleh 'tersenyum' jika budaya senyum di kalangan masyarakat tempatan diperkasakan. 

Bertitah merasmikan MATTA Fair Perlis 2012 di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini, malam tadi, baginda bertitah walaupun tiada kos untuk senyuman, namun kesannya adalah besar kepada sektor pelancongan selain mencerminkan nilai positif masyarakat tempatan. 

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pemain sektor pelancongan perlu peka terhadap perubahan kehendak pelancong yang sentiasa inginkan kelainan bagi menjana kepuasan percutian mereka. 

Sehubungan itu baginda berharap ejen pelancongan kreatif untuk memikat kehadiran pelancong di samping mempergiat promosi produk pelancongan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggamit kehadiran 36 juta pelancong pada 2020. 

Selain itu, mereka juga perlu meningkatkan sistem penyampaian dan komunikasi berkesan dengan memantapkan penguasaan bahasa-bahasa utama dunia, titah baginda. 

Sempena majlis perasmian itu, baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut melawat gerai pameran yang disertai lebih 30 agensi dan syarikat pelancongan. 

MATTA Fair Perlis 2012 yang julung kali diadakan berlangsung selama tiga hari dan ia dianjurkan oleh MATTA (Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia) dengan kerjasama kerajaan negeri Perlis, Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Presiden MATTA, Datuk Mohd Khalid Harun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment