My Add

Wednesday 18 July 2012

Rakyat Malaysia guna 15 kilogram kelapa setahun

ALOR SETAR, RABU, 18 Julai, 2012: Kajian yang dibuat oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (FAMA) menunjukkan bahawa secara purata setiap rakyat Malaysia menggunakan 15 kilogram kelapa setahun. 

Ketua Pengarahnya, Ahmad Ishak berkata jika diikutkan keperluan masa kini, penggunaan kelapa di negara ini adalah hampir 700 juta biji setahun dan Fama hanya mengeluarkan 400 juta biji sahaja.

"Jadi, yang selebihnya kita perlu import bagi memastikan permintaan kelapa di negara ini mencukupi termasuklah di bulan puasa dan musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pasar Tani PraRamadan oleh Pengerusi Barisan Nasional Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah, di Taman Wira Mergong di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, setiap bulan, Fama akan mengimport sejuta kelapa dan untuk bulan Ramadan dan juga musim perayaan akan datang, jumlah import itu akan meningkat kepada 3 juta. 

"Kalau bulan-bulan biasa, Sabah dan Sarawak akan menghantar bekalan kira-kira 60,000 biji kelapa ke Semenanjung bagi membantu manambah bekalan kelapa di sini," katanya. 

Ahmad berkata, untuk musim perayaan, tidak akan timbul masalah bekalan kelapa kerana Fama mengimport 3 juta biji kelapa dari Indonesia. 

"Kelapa-kelapa yang diimport itu dijual pada harga RM1 sebiji manakala kelapa tempatan dijual pada harga RM1.20 sebiji. 

"Rakyat kita lebih gemar memakan kelapa tempatan berbanding kelapa import tetapi jika tiada pilihan, mereka tetap akan membeli kelapa import," katanya. 

Katanya, semua kelapa yang diimport itu akan dibawa masuk secara berperingkat dan diedarkan ke seluruh negara melalui pusat-pusat logistik iaitu di Pualau Pinang, Pelabuhan Klang, Kuantan, Batu Pahat, Kota Bahru dan Kuala Terengganu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment