My Add

Tuesday 17 July 2012

Saman Tee Keat terhadap Ahli Parlimen Bintulu 8 Julai 2013

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan lima hari mulai 8 Julai tahun depan perbicaraan penuh saman fitnah RM500 juta bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat terhadap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kuala Dimensi Sdn Bhd. 

Hakim Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam yang mewakili Ong dan Tiong di kamarnya hari ini.

Pada tarikh yang sama mahkamah juga akan mendengar saman Tiong terhadap Ong menuntut RM10 juta yang mana Ahli Parlimen Bintulu itu mendakwa beliau menyerahkan wang itu kepada Ong sebagai sumbangan kepada MCA. 

Ong yang diwakili peguam Tan Foong Luen memberitahu pemberita hakim juga menetapkan 4 September bagi pengurusan kes untuk kedua-dua kes bagi membolehkan kedua-dua pihak bermediasi untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah. 

Tan berkata anak guamnya (Ong) telah menetapkan dua kategori prasyarat untuk membolehkan proses mediasi itu berjaya. 

Beliau berkata syarat pertama Ong mahu Tiong agar menarik balik dakwaan berhubung sumbangan RM10 juta dan kedua menerbitkan permohonan maaf di semua akhbar utama. 

"Ia bukan syarat kami selaku peguam tetapi anak guam kami yang menetapkan prasyarat itu," kata Tan. 

Sementara itu, peguam Prem Ramachandran yang mewakili Tiong berkata kedua-dua pihak telah mengadakan mediasi sebelum ini, tetapi gagal mencapai penyelesaian. 

"Anak guam kami berpendirian beliau telah menyerahkan RM10 juta kepada Ong dan beliau mahukan kembali wang itu," kata Prem. 

Pada Ogos 2009, Ong yang juga presiden MCA ketika itu, memfailkan saman terhadap Tiong, mendakwa Tiong telah mengeluarkan kenyataan memfitnah kononnya Tiong telah memberi Ong RM10 juta, yang disiarkan di dalam laman web Malaysiakini pada 12 Ogos. 

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa kenyataan itu tidak benar dan beliau mahu Tiong menarik balik kenyataannya dan menyiarkan permohonan maaf dalam semua akhbar-akhbar utama tempatan. 

Ong juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan dan memohon perintah injunksi menghalang Tiong atau ejen-ejennya dalam apa juga cara menerbit, menyiar atau menyebarkan sebarang fitnah secara lisan atau bertulis berhubung perkara berkenaan. 

Beliau mendakwa, kenyataan berunsur fitnah itu dikeluarkan dengan niat jahat bagi menghalang penyiasatan yang adil dan betul terhadap penyalahgunaan kewangan oleh PKFZ dan peranan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dalam penyalahgunaan kewangan berkenaan. 

KDSB adalah kontraktor siap guna bagi projek PKFZ. 

Ong mendakwa reputasi, imej, integriti dan nama baiknya tercemar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment