My Add

Monday 9 July 2012

Sambutan penuh bermakna di ibu negara

*PENEROKA Felda Nitar Dua bergambar bersama replika cek bernilai RM1 juta selepas muncul pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda 2012 pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2012 dan Perasmian Menara Felda di Kuala Lumpur, malam kelmarin. - BERNAMA

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, AHAD, 08 Julai, 2012: Buat pertama kalinya dalam sejarah, sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan yang dihadiri lebih 20,000 warganya diadakan di ibu kota walaupun tidak terdapat tanah rancangan organisasi tersebut di sini.

Jika sebelum ini sambutan berkenaan diadakan pada siang hari di sesebuah tanah rancangan yang dipilih menjadi tuan rumah secara bergilir, namun tahun ini, ia telah beralih angin, diadakan waktu malam bersekali dengan perasmian Menara Felda yang baru di kawasan segi tiga emas di ibu negara.

Bertempat di kawasan letak kereta terbuka Menara Berkembar Petronas, jelas terpancar keceriaan dan kebanggaan pada wajah mereka apabila menyaksikan sendiri bangunan baru itu 'sama naik' dengan menara berkembar tertinggi di dunia itu.

Lebih bermakna, warga yang hadir turut bersorak dan bertepuk tangan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perasmian menara baru itu yang disekalikan dengan percikan bunga api selama kira-kira lima minit.

Menara 50 tingkat yang diilhamkan daripada bentuk biji kelapa sawit itu berharga RM700 juta dengan nilai semasa kini meningkat kepada RM965 juta

Menurut Najib, perasmian menara baru itu merupakan satu kebanggaan buat masyarakat Malaysia, khususnya para peneroka dan ahli keluarga masing-masing.

Katanya, kewujudan menara itu di 'Platinum Park' iaitu kawasan perniagaan utama di ibu negara kini benar-benar meletakkan organisasi Felda di persada antarabangsa.

Di samping menara tersebut, kata beliau, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) di Bursa Malaysia baru-baru ini membuktikan organisasi tersebut kini benar-benar kukuh.

"Ini kejayaan anda, kejayaan kita bersama dan ia kerana ketabahan tuan-tuan dan puan-puan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan sewaktu mula-mula membuka tanah rancangan masing-masing.

"Keyakinan anda semua kepada kerajaan (yang menyenaraikan FGV) turut menyumbang kepada kejayaan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment