My Add

Wednesday 18 July 2012

'Saya dah buang pingat ke sungai'

*FIRDAUS Abdul Razak ketika memenangi pingat gangsa acara angkat berat Sukan SEA di Palembang, tahun lalu.

Oleh AIZAWATI AHMAD
KUALA LUMPUR - Atlet angkat berat negara, Firdaus Abdul Razak yang positif doping dan perlu memulang pingat gangsa yang dimenanginya pada Sukan SEA tahun lalu mendedahkan dia telah pun membuang pingat tersebut daripada simpanannya.

Menurutnya, dia bertindak demikian kerana baginya pingat gangsa itu meninggalkan kenangan yang cukup pahit dalam kariernya.

“Nak buat apa saya simpan lagi jika saya sakit hati melihatnya. Saya telah buang pingat itu ke sungai.

“Saya campak pingat itu di Sungai Kedah kerana airnya deras, jadi senang pingat itu hanyut," katanya.

Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dalam mesyuarat di Myanmar Sabtu lalu mengarahkan Firdaus memulangkan pingat gangsa yang dimenangi dalam acara 94-105 kilogram lelaki clean & jerk pada Sukan SEA 2011.

Turut ditarik pingat kemenangan ialah kuartet 4x400 meter lelaki negara serta atlet sukan kempo dari Indonesia yang memenangi emas.

Tambah Firdaus, dia berasakan dirinya teraniaya dalam kes doping itu.

Menurutnya, tiada atlet yang sanggup sabotaj diri sendiri dengan memasukkan dadah terlarang ke dalam tubuh.

“Sebelum ke Sukan SEA, ujian doping saya tak ada masalah, tetapi bila ke Sukan SEA saya sangkut, sukar untuk saya terima semua ini," katanya.

Luah atlet kelahiran Perlis itu lagi, apa yang lebih melukakan hatinya ialah apabila dia kematian ibunya, Fatimah Mat, 49, akibat barah rahim beberapa hari sebelum berangkat ke Sukan SEA.

“Semasa ibu saya meninggal, tiada seorang pun wakil dari Persekutuan Angkat Berat Malaysia ataupun pegawai sukan yang datang menziarah.

“Saya pergi ke Indonesia dengan hati yang cukup berat. Hati saya bertambah kecewa apabila saya gagal ujian doping dan sekali lagi mereka biarkan saya bersendirian," dedahnya.

Ekoran daripada pengalaman pahit yang dilaluinya, Firdaus, 25, memutuskan untuk bersara dari sukan angkat berat dan mahu memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment