My Add

Tuesday 17 July 2012

Saya tidak pernah baca dokumen, kata Liong Sik

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Julai, 2012: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah membaca dokumen dan lampiran dalam segala urusan rasmi.

Liong Sik berkata, beliau lebih banyak merujuk kepada memo dan surat kerana dokumen dan lampiran biasanya telah dibaca oleh pegawai kanannya.

Beliau yang menjadi saksi pertama pembelaan dalam kes berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) turut memberitahu bahawa beliau tidak memahami sebarang penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). 

Ditanya peguam Wong Kian Kheong adakah beliau pernah meminta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak mematuhi penilaian yang dibuat oleh JPPH, Liong Sik berkata: "Tidak." Liong Sik berkata, beliau juga tidak pernah menyembunyikan sebarang fakta mengenai jumlah faedah dan kos berkaitan projek PKFZ.

Beliau turut menafikan berbuat demikian (menyembunyikan fakta) terhadap Kementerian Kewangan dan menteri kabinet lain.

Liong Sik berkata, surat kepada Dr Mahathir juga dihantar tanpa sebarang niat untuk menipu dan segala isi kandungannya adalah daripada maklumat yang disampaikan oleh pegawai kanannya. 

Mengikut rekod mahkamah surat tersebut menyatakan mengenai cadangan pengambilan balik tanah menerusi kaedah 'willing buyer, willing seller' yang dipersetujui bersama syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Liong Sik yang merupakan saksi pertama pembelaan berkata isu kos, kadar faedah, pembayaran dan pembangunan tanah bukan berada di bawah tanggungjawabnya sebaliknya ia perlu dijelaskan oleh Kementerian Kewangan.

Mengenai surat sokongan berkaitan penerbitan bon bagi membangunkan projek tersebut, Liong Sik berkata, beliau tidak menerima sebarang aduan mengenainya daripada Dr Mahathir.

Liong Sik yang mula memberi keterangan sejak Jumaat lepas masih mengekalkan kenyataan bahawa tiada seorangpun daripada pegawai kanannya memberitahu bahawa perjanjian jual beli tanah itu tidak mematuhi penilaian JPPH.

Liong Sik, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Liong Sik didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Sebelum prosiding berakhir, Liong Sik sempat memberitahu Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bahawa beliau tidak sepatutnya dituduh dan berharap Hakim Ahmadi menyoalnya.

Pertanyaan itu membuatkan hakim, timbalan pendakwa raya dan orang ramai yang mengikuti prosiding tertawa.

Hakim Ahmadi berkata tugas menyoal akan dilakukan oleh pihak pendakwaan dan mereka tentunya mempunyai banyak soalan.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment