My Add

Wednesday 11 July 2012

SPA serius tarik minat bukan Melayu sertai sektor awam

KUALA LUMPUR, RABU, 11 Julai, 2012,: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu melihat komposisi kaum yang lebih saksama dalam perkhidmatan awam selaras dengan dasar-dasar transformasi beliau dan matlamat 1Malaysia. 

Begitu juga dengan Ketua Setiausaha Negara yang baru Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang mahu melihat perkhidmatan awam menampilkan imej pelbagai kaum. 

Sekarang ini, lebih 80 peratus penjawat awam adalah Melayu dan Bumiputera lain sementara Cina (5 peratus) dan India (4 peratus). Bahagian yang diwakili bukan-Melayu begitu kecil sekali jika dibandingkan dengan 1.4 juta kakitangan awam di negara ini. 

Pada satu ketika dahulu Jabatan Kerja Raya, Perkhidmatan Pos dan Keretapi Tanah Melayu didominasi pegawai daripada masyarakat India. Begitu juga golongan Bukan-Bumiputera hadir dalam bilangan ketara dalam bidang perguruan. 

Hari ini, hanya sebilangan kecil penjawat awam India dan bilangan lebih kecil lagi penjawat awam Cina boleh ditemui di jabatan-jabatan tertentu khasnya dalam bidang profesional. 

Sementara pintu terus terbuka bagi bukan-Melayu untuk menyertai perkhidmatan awam, mereka memandang sepi terhadap jawatan-jawatan sektor awam kerana menganggap peluang untuk meningkat naik dalam kerjaya adalah terhad berbanding rakan-rakan Melayu mereka. 

Masalah ini diburukkan lagi oleh hakikat yang tidak ramai bukan-Melayu sekarang ini berminat dengan perkhidmatan awam. Masyarakat India lebih selesa dengan persekitaran berbilang budaya sementara masyarakat Cina pula memilih persekitaran berorientasi perniagaan. 

Bagaimanapun, kerajaan kini serius dalam menarik penyertaan lebih ramai bukan-Melayu dalam usaha memastikan perkhidmatan awam diwakili semua kaum dan menerimapakai pendekatan abad ke 21 dalam menunaikan janji Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. 

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam menunjukkan bahawa kerajaan mengambil pelbagai usaha untuk menggamit bukan-Melayu menyertai perkhidmatan awam dan ia bukan sekadar omong-omong kosong. 

SPA mengendalikan kira-kira 48 peratus daripada jumlah pengambilan kakitangan kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment