My Add

Tuesday 10 July 2012

Sultan Azlan mahu PDRM jadi pasukan polis kelas pertama

TAIPING, ISNIN, 09 Julai, 2012: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus menjadi pasukan polis kelas pertama yang dihormati dan disegani masyarakat, bukan ditakuti serta dijauhi, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. 

Titah baginda, perkara itu boleh dicapai menerusi perkhidmatan yang profesional, berdisiplin, berintegriti serta penguatkuasaan undang-undang yang adil, saksama, cekap, pantas dan telus.

 "Pasukan polis kelas pertama akan memiliki tahap kehormatan sehingga tidak memungkinkan terlintas sebarang niat oleh mana-mana pihak untuk cuba menyogok rasuah kepada mana-mana anggotanya," titah bagina ketika mencemar duli merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, hari ini. 

Titah baginda, PDRM perlu mengelak daripada dikelompokkan sebagai pasukan keselamatan di dunia ketiga dengan pelbagai imej negatif, selain dipersenda dan dilihat pasukan yang bergelumang dengan amalan rasuah, menindas yang lemah serta 'memejamkan mata' terhadap perbuatan jenayah, terutama oleh golongan elit. 

"Ia mungkin bermula dengan toleransi terhadap satu kesalahan trafik atau penyeludupan seguni beras tetapi amalan toleransi sedemikian memberikan imej ketidaktegasan menguatkuasakan undang-undang dan imej negatif kepada pasukan," titah baginda. 

Titah Sultan Azlan, PDRM juga bertanggungjawab melaporkan keadaan sebenar terutama dalam perkara berkaitan jenayah kepada kerajaan. 

"Tidak ada makna jika laporan di atas kertas memberikan gambaran yang menggembirakan kerajaan, sedangkan realiti kejadian jenayah yang terus berlaku semakin membimbangkan dan menakutkan rakyat.

"Akhirnya kepercayaan rakyat akan hilang bukan sahaja kepada pasukan malah kepada kerajaan sendiri," titah baginda. 

Kompleks IPD Taiping yang dilengkapi bangunan pentadbiran lima tingkat, kuarters kakitangan, pusat sehenti, lapang sasar dan tempat hemodialisis itu dibina dengan kos RM88.5 juta. 

Kompleks itu dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan mula beroperasi pada 25 Jun lepas. 

IPD Taiping kini mempunyai sembilan buah balai polis di bawah pentadbirannya dengan kekuatan 49 pegawai, 616 anggota pangkat rendah dan 105 penjawat awam. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment