My Add

Thursday 19 July 2012

Tak salah guna 'Janji Ditepati' tema Hari Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 Julai, 2012 Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata bukan satu kesalahan untuk menggunakan slogan 'Janji Ditepati' sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 kerana ia sememangnya mencerminkan komitmen kerajaan menunaikan janji-janjinya. 

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan gagasan 1Malaysia umpamanya telah menunaikan janji-janjinya melalui proses transformasi seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). 

Beliau berkata Najib telah melunaskan konsep 1Malaysia itu dengan menterjemahkannya antaranya dalam bentuk pengagihan buku, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Susu 1Malaysia, pembukaan Kedai Kain 1Malaysia yang dinikmati lapisan masyarakat termasuk penyokong parti pembangkang. 

"Apabila kita buat sesuatu yang baik kita mengatakan komitmen kita sudah selesai, sudah dibuat, jadi tidak salah...," katanya apabila diminta mengulas rasional pengunaan tema 'Janji Ditepati' untuk sambutan hari kemerdekaan tahun ini, yang didakwa pihak tertentu menjurus kepada kempen politik. 

"55 Tahun Merdeka Janji Ditepati" dipilih sebagai tema hari kemerdekaan tahun ini. 

Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) warga kementerian di sini hari ini, Rais berkata berlandaskan sistem demokrasi yang diamalkan negara ini, kerajaan harus bersaing memberikan yang terbaik kepada rakyat begitu juga pihak pembangkang. 

"Jadi kalau pembangkang merasakan ini adalah slogan yang bawa kepada pilihan raya saya fikir memang tak salah jika disebutkan begitu. 

"Dan pembangkang boleh kata kami (pembangkang) sudah buat ini dan ini, dan ini janji kami (pembangkang), ini pun tak salah. 

"Tinggal lagi pembangkang harus terima satu hakikat, jangan dibohongi rakyat dengan perkara-perkara yang tak benar. 

"Dan jika ada yang tidak betul dan tidak tepat..pembangkang boleh sebut dan kami (kerajaan) akan baiki menerusi sistem kerajaan kita," katanya. 

Pada majlis APC itu, 1,018 kakitangan daripada 18 agensi dan jabatan di bawah kementerian itu menerima cek bernilai RM1,000 dan sijil pada majlis itu. 

Seorang penerima APC daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mahayudin Mohamad bersyukur dan terharu diberi penghargaan itu sambil menyifatkann pemberian anugerah itu menunjukkan sistem pentadbiran kementerian bertambah baik. 

"Lebih banyak kakitangan di peringkat bawahan yang diberi pengiktirafan, ini menunjukkan sistem pentadbiran kementerian bertambah telus dan tidak memilih," kata beliau yang telah berkhidmat sebagai jurufoto berita selama enam tahun. 

Penerima anugerah sebanyak lima kali, Fauziah Hussein daripada Unit Komunikasi Korporat daripada KPKK pula berkata penghargaan sedemikian, memberikan semangat kepada beliau untuk bekerja lebih baik. 

"Yang penting, kita perlu lebih konsisten dan memberikan lebih daripada yang dikehendaki, perlu juga komited untuk menjadikan imej kerajaan lebih baik pada pandangan masyarakat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment