My Add

Monday 9 July 2012

Tiga wanita Myanmar cuba seludup masuk ditahan

ALOR SETAR, ISNIN, 09 Julai, 2012:: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam menahan tiga wanita Myanmar yang cuba memasuki negara ini secara haram di simpang empat lampu isyarat Bukit Kayu Hitam, petang semalam. 

"Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu kereta membawa tiga wanita terbabit," kata Komander UPP Kedah, Abdul Latif Rahman pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada tangkapan 5.15 petang itu, UPP Bukit Kayu Hitam menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dengan tiga penumpang wanita.

Siasatan mendapati wanita terbabit yang berusia antara 21 dan 24 tahun memasuki negara ini tanpa dokumen sah melalui 'lorong tikus' sekitar pagar pecah berdekatan Padang Golf Black Forest Bukit Kayu Hitam. 

"Berdasarkan pakaian dan umur kemungkinan ketiga-tiga wanita ini memasuki negara ini atas tujuan untuk bekerja di pusat hiburan," katanya menambah kesemua wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 6(1) (c) akta sama. 

Lelaki itu pula yang berasal dari Kuala Lumpur ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) serta Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. 

Kes itu, katanya, dirujuk ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment