My Add

Tuesday 17 July 2012

46 pemandu teksi ambil tambang lebih diambil tindakan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 Julai, 2012: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengambil tindakan terhadap 46 pemandu teksi yang melakukan kesalahan tidak menggunakan meter serta mengenakan tambang melebihi kadar dibenarkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pemandu teksi yang enggan menggunakan meter ketika membawa penumpang dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 Seksyen 22 (3) dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 tetapi tidak melebihi RM5,000 atau boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Setakat ini sebanyak 1,823 kes melibatkan teksi telah dikendalikan oleh SPAD di seluruh Semenanjung atas pelbagai kesalahan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 46 kes melibatkan kesalahan tidak menggunakan meter dan mengenakan tambang melebihi kadar dibenarkan.

"Berikutan itu, SPAD dari semasa ke semasa telah menganjurkan kursus dan seminar untuk memastikan pemandu teksi menggunakan meter. Bagi pengguna pula, SPAD ada menyediakan talian aduan sekiranya ingin membuat laporan berhubung salah laku pemandu teksi sama ada menerusi talian bebas tol atau laman sosial Twitter," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Boon Som Inong pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad turut memberitahu bahawa SPAD sedang melaksanakan kajian secara menyeluruh terhadap perkhidmatan teksi di negara ini dalam usaha menambah baik mutunya.

Menjawab soalan tambahan Senator Khoo Soo Seang mengenai rancangan untuk mengeluarkan permit teksi kepada individu atau pemandu teksi sendiri dan bukannya kepada pengusaha teksi, Ahmad berkata, ia sedang dalam kajian.

Bagaimanapun, katanya, masalah lambakan permit teksi akan berlaku sekiranya perkara tersebut dilaksanakan memandangkan ketika ini sebanyak 67,000 permit teksi dan kereta sewa telah dikeluarkan.

"Kalau kita tambah permit individu, katalah mahu beri 10,000 lagi permit, maknanya permit teksi sudah ada 77,000 dan ini telah melebihi kadar yang sepatutnya. Akibatnya nanti setiap teksi perlu menunggu begitu lama baru boleh dapat penumpang yang akhirnya hanya memburukkan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

"Walaupun begitu, kaedah-kaedah tertentu sedang kita fikirkan untuk beri permit khasnya kepada kumpulan-kumpulan tertentu," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment