My Add

Wednesday 18 July 2012

TUDM bakal terima dua Eurocopter EC725

BUTTERWORTH, RABU, 18 Julai, 2012: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menerima dua daripada 12 pesawat Eurocopter EC725 baru bagi menggantikan pesawat Nuri pada akhir tahun ini atau selewat lewatnya Januari tahun depan. 

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, juruterbang TUDM sudah dihantar ke Perancis untuk menjalani latihan menggunakan pesawat baru itu sebelum ia di bawa balik ke Malaysia. 

"Pesawat terakhir dijangka akan diterima pada Januari 2014. Dua daripada pesawat itu akan ditempatkan di Kuantan manakala stimulatornya di Subang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sayap penerbangan kepada 41 orang pegawai angkatan tentera yang menamatkan kursus, di Pangkalan TUDM di sini hari ini. 

Seramai 25 orang (dua dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikuti kursus latihan penerbangan lanjutan Pilatus PC-7 manakala 16 lagi mengikut kursus asas penerbangan helikopter. 

Tiga orang pegawai menerima anugerah kecemerlangan dalam kursus itu iaitu Leftenan Muhammad Osman Mohd Sidek (Akademik Terbaik), Leftenan Ezraini Azrin Khoo Mohamad Erwan Khoo (Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) dan Leftenan M Khairul Azwan Ismail (Terbaik Penerbangan Helikopter). 

Rodzali juga berkata, TUDM dijangka menerima empat pesawat baru A400M bagi menggantikan pesawat Charlie pada Januari 2015. 

Beliau berkata, kesemua pesawat itu akan dihantar secara berperingkat-peringkat dengan pesawat terakhir masih lagi di pasang di Perancis. 
Beliau turut menjelaskan TUDM sedang dalam perancangan untuk menggantikan pesawat yang digunakan untuk latihan dengan pesawat baru yang dilengkapi teknologi terkini. 

"Memang ada perancangan itu dan sedang menunggu peruntukan bagi menggantikan pesawat yang digunakan untuk latihan. Pesawat latihan yang sedia ada sudah lama dan memang perlu diganti dengan yang baru," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment